MotoGP: Ducati Tidak Akan Rasai Kehilangan Dovizioso – Zarco

Ujian pra-musim Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) sedang berlangsung ketika ini di Jerez namun akan disertai beberapa pelumba MotoGP antaranya Johann Zarco.

Zarco, yang dinaik taraf ke Pramac Racing musim ini dari Avintia akan menunggang Ducati Panigale V4S bersama-sama pelumba uji Michele Pirro.

Menjelang pembukaan tirai musim 2021, Zarco mengharapkan Ducati tidak akan merasai kehilangan Dovizioso.

*Johann Zarco

“Saya harap kami tidak akan merasai kehilangannya kerana itu bermakna kami sedang melakukan yang terbaik dan ke arah yang betul.

“Bagi musim 2021, Ducati memiliki pelumba yang kompetitif dan mampu membantu pembangunan jentera,” jelasnya kepada GPOne.

Bagaimanapun, Zarco akui menjadikan Dovizioso sebagai penanda aras di Pramac.

“Saya tidak mempunyai sebarang pelumba spesifik untuk difokuskan tetapi Dovizioso kekal sebagai contoh terbaik berpandukan kejayaan dan podium yang telah direkodkan selama ini.

“Dia juga mempunyai kawalan terhadap semua aspek jadi pastinya dia menjadi penanda aras saya,” tambah Zarco.

*Peco Bagnaia

Ducati mempertaruhkan muka baharu bagi pasukan factory dengan Jack Miller dan Francesco ‘Peco’ Bagnaia manakala Johann Zarco dan Jorge Martin mengisi slot di Pramac bagi musim 2021.

Dalam perkembangan lain, Ducati telah menandatangani kontrak lanjutan bersama Dorna Sports yang bakal menyaksikan pasukan itu kekal di MotoGP hingga 2026.