160 Podium Dan 51 Kemenangan, Ducati Kekal Di MotoGP Hingga 2026

Ducati akan kekal terlibat dengan saingan MotoGP setelah menandatangani kontrak lanjutan lima tahun dengan Dorna Sports.

Kedua-dua mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan yang menyaksikan pengeluar motosikal berpangkalan di Bologna, Itali itu terlibat dengan Kejuaraan Dunia MotoGP dari 2022 hingga 2026.

*CEO Dorna, Carmelo Ezpeleta dan CEO Ducati, Claudio Domenicali

“Perlumbaan merupakan aspek paling penting bagi jenama Ducati malah menjadi medan kami menguji bahan paling canggih dan rekaan paling inovatif.

“MotoGP juga menjadi tapak latihan para jurutera muda kami berkembang bagi menghasilkan motosikal paling canggih dan terkini untuk pelanggan sepertimana yang telah ditonjolkan Superleggera V4 dan Multistrada V4,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali.

*Loris Capirossi

Sejak membuat penampilan sulung pada 2003, Ducati kini muncul sebagai antara pasukan utama di kelas premier apabila hanya memerlukan enam pusingan untuk merekodkan kemenangan pertama di GP Catalan oleh pelumba, Loris Capirossi.

*Casey Stoner

Ducati kemudiannya memenangi kejuaraan dunia bersama Casey Stoner pada 2007 termasuk kejuaraan dunia pasukan dan konstruktor pada tahun sama.

Tahun 2020 turut menyaksikan Desmosedici GP antara jentera paling kompetitif dengan bantuan Andrea Dovizioso, Danilo Petrucci, Jack Miller, Peco Bagnaia dan Johann Zarco termasuk merekodkan sembilan podium.

Selepas 18 musim di MotoGP setakat ini, Ducati telah pun melakar 160 podium termasuk 51 kemenangan.