MotoGP: Razlan Rancang Petronas SRT Jalani Ujian Persendirian Di Eropah

Prinsipal pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali menyifatkan persiapan pasukan itu tidak terjejas meskipun ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dibatalkan.

Dorna Sports, FIM, IRTA dan SIC telah pun mengesahkan pembatalan Sepang Shakedown dan ujian rasmi di Sepang susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di samping pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri.

Menurut Razlan pihaknya menghormati keputusan itu termasuk pelaksanaan PKP oleh kerajaan Malaysia dalam mengekang Covid-19.

*Datuk Razlan Razali, Franco Morbidelli

Razlan memaklumkan bakal berbincang dengan pengurus pasukan, Johan Stigfelt, untuk mengadakan tiga ujian persendirian di Eropah susulan terdapat kebimbangan Dorna akan turut membatalkan ujian pra-musim di Sepanyol.

“Saya difahamkan yang Dorna Sports berkemungkinan membatalkan satu lagi ujian MotoGP yang sepatutnya diadakan di Sirkit Jerez (di Sepanyol) dari 16-18 Mac akibat COVID-19,” katanya.

Setakat ini ujian pra-musim di Litar Losail, Qatar, masih lagi dalam perancangan.

“Saya percaya yang ujian di Qatar (dari 10-12 Mac) adalah lebih daripada mencukupi untuk pasukan kami memperbaiki motosikal kami, terutamanya aerodinamik termasuk mengurangkan berat motosikal, sebelum perlumbaan sebenar,” jelasnya.

Aksi MotoGP kembali membuka tirai pada 26-28 Mac ini di Qatar. – BERNAMA

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]