MotoGP Umum Pembatalan Ujian Pra-Musim Di Sepang

Ujian pra-musim rasmi MotoGP yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Februari telah dibatalkan.

Sebelum ini, Dorna dan IRTA bersama-sama bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali dikatakan telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Malaysia bagi mencari solusi terbaik susulan pengunjung luar harus menjalani kuarantin wajib tujuh hari.

Bagaimanapun, aksi di Sepang kini sah dibatalkan selepas mengambil kira faktor peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di negara ini.

Pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari di beberapa negeri termasuk pengisytiharan darurat membuatkan pihak MotoGP membuat keputusan untuk membatalkan ujian pra-musim disini.

“FIM, IRTA dan Dorna Sports dengan dukacita mengumumkan pembatalan Sepang Shakedown dan Ujian Pra-Musim Rasmi Litar Antarabangsa Sepang.

“Kes Covid-19 serta keputusan ‘lockdown’ terbaru telah membawa kepada pembatalan acara ini yang sepatutnya dijadualkan pada Februari.

“Ujian pra-musim di Qatar pada 10 hingga 12 Mac ini masih disahkan untuk berjalan bagaimanapun segala info terkini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” jelas pihak MotoGP dalam satu kenyataan.

Hal ini sekaligus menjadikan Litar Losail sebagai medan ujian sulung pelumba bagi musim 2021.