Modenas Kriss 110 Dapat Kemas Kini Baharu – Dengan Cakera Brek, Port USB Dan Petunjuk Gear!

Motosikal ikonik MODENAS, Kriss 110, mendapat kemas kini terbaru yang memfokuskan peningkatan ciri keselamatan.

MODENAS Kriss 110 kini tampil dengan cakera brek di bahagian depan yang menjaminkan tahap membrek lebih efisien bagi tahun 2020.

Bukan itu sahaja, varian Kriss 110 Disc Brake ini juga lengkap dengan penyerap hentakan (belakang) berkembar di samping penggunaan tayar jenis ‘tubeless’.

Meskipun dengan pertambahan ciri baharu, motosikal ini masih lagi ringan dengan hanya 97 kilogram.

Bagaimanapun, model baharu ini masih lagi bernadikan enjin satu silinder 107cc SOHC dengan penggunaan karburator yang menjana 6.5hp pada 8,000rpm dan 6.7Nm pada 6,000rpm.

Bahagian depan turut dikemas kini dengan lampu depan ‘multi-reflector’ yang menjaminkan pencahayaan terbaik di samping rekaan grafik serba baharu.

Antara ciri baharu lain ditawarkan:

  • paparan digital dan petunjuk gear baharu
  • port pengecas USB
  • ruang letak barang 6.6L
  • lampu kecemasan (hazard light)

Model ini juga menawarkan pilihan warna merah termasuk dengan pilihan warna biru dan hitam yang ditawarkan sebelum ini.

MODENAS menawarkan Kriss 110 Disc Brake ini pada harga RM3,877 (sebelum cukai jalan dan insurans).