Khairul Idham Pawi Umum Persaraan

Bekas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi @ KIP, membuat keputusan untuk melepaskan segalanya dalam arena permotoran selepas lima tahun berbakti dalam sukan itu.

Keputusan mengejutkan itu hadir beberapa bulan selepas kontrak pelumba yang baru berusia 22 tahun itu tidak disambung Petronas Sprinta Racing di Moto3.

Pendedahan itu dibuat KIP ketika sesi temu bual bersama Nadi Arena.

“Apabila saya melihat beberapa perkara yang saya rasa tidak akan boleh meningkat, saya berfikir untuk bersara.

“Kerana apa yang memainkan peranan sebenarnya adalah orang di sekeliling kita.

“Sebagai satu keluarga, kalau keputusan kita (tidak bagus) cubalah untuk membantu tetapi untuk mencari orang seperti itu memang susah,” jelasnya.

Kenyataan itu seakan ditujukan kepada bekas pasukannya di Moto3 yang membuat keputusan itu tidak menyambung kontraknya bagi musim depan.

Tempat KIP akan diisi Daryn Binder yang akan bergandingan bersama John McPhee bagi musim 2021.

Khairul Idham Pawi, Moto3 race, French MotoGP, 11 October 2020

Menurut KIP lagi, fokusnya ketika ini hanya mahu kembali berasa gembira dengan kehidupan disisi ahli keluarga.

“Sekarang saya mahu melupakan perlumbaan dan melakukan perkara yang boleh membuatkan saya gembira.

“Saya cuba untuk membantu ayah dan keluarga saya. Saya mahu membantu mereka.

“Sudah pasti saya terkenang (kejayaan menjuarai dua pusingan) kerana ia adalah impian saya.

“Setiap kali berlumba, saya mahu menang. Setiap perlumbaan, saya mahu berada di depan.

“Saya rasa semua pelumba mahu menang dan itulah sasaran saya.

“Cuma saya ada sedikit kecewalah tetapi macam mana pun, ia sudah lepas, jadi saya cuma tidak mahu pelumba Malaysia yang baru hendak meningkat menjadi seperti saya.

“Tetapi saya berbangga kerana saya merupakan rakyat Malaysia pertama menjadi juara dalam dua perlumbaan, di Argentina dan Jerman,” tambahnya lagi.

KIP melakar sejarah apabila berjaya memenangi dua pusingan (Argentina dan Jerman) di Moto3 pada 2016 di usia 18 tahun.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]