Ini Rupa Jelas CFMoto MT800 – Parallel-Twin 799cc Dari KTM!

Tahun ini, CFMoto telah pun melancarkan motosikal tourer menerusi 1250TR-G yang bernadikan enjin 1,279cc LC8 v-twin.

CFMoto 1250TR-G 2021

Bagaimanapun, pengeluar motosikal China itu bakal memasuki segmen adventure menerusi MT800 yang akan digerakkan dengan enjin 799cc yang sama terdapat pada KTM 790 Adventure.

Meskipun tular beberapa imej ‘spyshot’ MT800 yang diselaputi grafik ‘camo’ namun imej jelas model baharu itu telah didedahkan menerusi paten yang telah difailkan.

CFMoto MT800 ini mencuri perhatian tatkala akan dipasarkan di seluruh dunia berbanding 1250TR-G yang ketika ini hanya untuk pasaran China.

Apatah lagi perkongsian platform dengan KTM menjadikan MT800 antara model yang paling dinantikan bagi tahun 2021.

Meskipun menawarkan enjin sama yang terdapat pada 790 Duke (The Scalpel) dan 790 Adventure namun unit tersebut dijangka akan ditala semula pada MT800.

Pada masa sama paten yang didedahkan ini jelas memaparkan MT800 lebih kearah motosikal untuk kegunaan jalan raya berbanding ‘off-road’seperti yang ditawarkan 790 Adventure antaranya tempat duduk yang lebih ergonomik berbanding gaya ‘enduro’ yang lebih rata untuk 790 Adventure.

*Paten dedah penggunaan rim jenis aloi

Penggunaan rim 19″ depan dan 17″ belakang pada MT800 juga berbeza dengan 21″ depan dan 18″ belakang yang terdapat pada jentera KTM terbabit.

Meskipun paten ini memaparkan rim jenis aloi namun dijangka CFMoto akan turut memperkenalkan varian dengan rim jenis spoke (lidi) seperti dalam imej spyshot sebelum ini.

*CFMoto MT800 dengan rim jenis spoke

Bukan itu sahaja, MT800 ini turut berkongsi kerangka (chasis) sama seperti 790 Adventure namun dengan rekaan swingarm yang berbeza.

Kerjasama dengan KTM juga dijangka menyaksikan MT800 didatangkan dengan fork depan (upside/down) dari WP dan penggunaan sistem brek dengan ABS dari Bosch.

Paten ini juga mendedahkan penggunaan skrin TFT berwarna yang berkemampuan dihubungkan dengan telefon pintar.

Sementara itu, kami juga dimaklumkan bahawa MT800 ini akan turut dipasarkan di Malaysia sekaligus merancakan lagi segmen motosikal ‘adventure’ disini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]