Ini (Mungkin) 12 Motosikal Yang Bakal Masuk Malaysia 2021!

Advertisements

Tahun 2020 semakin hampir untuk melabuhkan tirai namun itu tidak menjadi penghalang buat pengeluar motosikal dunia berkejar-kejar dalam memperkenalkan model baharu.

Senario itu selain daripada berpunca dari pelaksanaan Euro 5 di Eropah, tahun 2021 dijangka bakal berlakunya permintaan tinggi terhadap jentera dua roda susulan pandemik Covid-19 ketika ini seperti yang dilaporkan Frost & Sullivan.

Malaysia juga tidak akan terlepas dengan beberapa model turut dijangka akan dilancarkan disini.

Ini 12 motosikal yang mungkin mendarat di Kuala Lumpur pada 2021.

  1. Ducati Multistrada V4

*Peluang masuk Malaysia: 10/10

Motosikal ‘adventure touring’ ini tampil dengan enjin 1,158cc serba baharu yang dinamakan Granturismo V4 yang menawarkan 170hp dan 125Nm.

Major service interval kini ditetapkan pada 60,000km berbanding 30,000km sebelum ini tatkala Ducati memilih valve spring berbanding Desmodromic valve yang telah diguna pakai sejak era 60an.

Melihat kepada Ducati Malaysia menawarkan kesemua model untuk pasaran tempatan sebelum ini, kami yakin jentera ini akan turut mendarat tahun depan.

  1. Yamaha Tracer 9 dan Tracer 9 GT

*Peluang masuk Malaysia: 10/10

Motosikal ‘sport touring’ paling popular di Malaysia kini tampil dengan enjin lebih besar 890cc (Euro 5) yang menjana 117hp berbanding 113hp sebelum ini.

Model ini juga dilengkapi dengan sistem kawalan IMU 6-axis yang terdapat pada jentera sportsbike YZF-R1.

  1. Honda X-ADV 750 2021

*Peluang masuk Malaysia: 10/10

Skuter adventure dari Honda ini tampil lebih memukau bag 2021 dengan enjin 754cc parallel 2-silinder kini menawarkan 57.7hp dan 69Nm berbanding 54hp dan 68Nm pada model sebelumnya.

Model 2021 ini juga didatangkan dengan ride-by-wire Honda Selectable Torque Control (HSTC) di samping skrin TFT berwarna yang boleh dihubungkan ke telefon pintar.

  1. Aprilia RS660

*Peluang masuk Malaysia: 10/10

Perkara itu disahkan sendiri Ketua Pemasaran Piaggio Asia Pasifik, Nicola Capello, ketika memperkenalkan Aprilia RSV4 X bersama Max Biaggi di Le Noir, Kuala Lumpur, Januari lalu.

Model ini pada awalnya dicanang akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini namun pelancaran itu mungkin ditangguh ke 2021 susulan pandemik Covid-19.

  1. Honda ADV 150

*Peluang masuk Malaysia: 10/10

Ada yang mungkin skeptikal namun maklumat kemasukan skuter ADV 150 ini disampaikan kepada kami oleh orang besar Boon Siew Honda sendiri.

Skuter ini dijangka akan masuk pasaran sekitar suku pertama 2021.

Honda ADV 150 merupakan skuter yang menawarkan rekaan seperti X ADV 750 dan mengguna pakai enjin 150cc daripada PCX dan menawarkan 14.2hp pada 8,500rpm.

Menariknya, sudah ada pihak yang membayar wang tempahan pada September lalu.

  1. Kawasaki ZX-10R dan ZX-10RR 2021

*Peluang masuk Malaysia: 10/10

Jentera kemenangan Kawasaki Racing Team (KRT) di pentas Kejuaraan Dunia Superbike (WSBK) tampil lebih garang untuk 2021.

Masih lagi mengekalkan kuasa 200hp, jentera ini kini tampil dengan skrin TFT berwarna dan sistem cruise control!

Bersandarkan kepada Kawasaki menawarkan semua jenis model sebelum ini, kami yakin model ini akan turut mendarat di Malaysia tahun depan.

  1. Triumph Trident 660 2021

*Peluang masuk Malaysia: 10/10

Antara motosikal paling dinantikan tahun depan apabila pengedar Triumph Motorcycles di Malaysia, Fastbikes mengesahkan jentera ini akan mendarat pada suku pertama 2021.

Menariknya, ini merupakan percubaan sulung Triumph dalam menawarkan motosikal mampu milik bagi segmen pertengahan yang sengit dengan Yamaha MT-07, Kawasaki Ninja 650 dan Honda CB650R.

  1. Triumph Tiger 850 Sport

*Peluang masuk Malaysia: 10/10

Sebuah lagi model dari kilang Hinckley bakal mendarat di Malaysia.

Meskipun datang dengan enjin sama yang terdapat pada Tiger 900 namun model ini lebih jinak dan mudah kawal dengan 88hp dan 81Nm berbanding 94hp dan 86Nm yang ditawarkan Tiger 900.

Fastbikes sendiri mendedahkan harga bagi Tiger 850 Sport ini akan diumumkan tahun depan sekaligus beri bayangan model ini akan turut berada di pasaran.

  1. CFMoto MT800

*Peluang masuk Malaysia: 8/10

Motosikal adventure sulung dari CFMoto ini yang mengguna pakai enjin LC8 799cc parallel-twin yang terdapat pada KTM 790 Adventure hasil kerjasama dengan KTM.

Dijadualkan akan dilancarkan di China pada hujung tahun ini, kami dimaklumkan jentera ini akan turut mendarat di Malaysia tahun depan namun tidak didedahkan mengenai jangka masa yang spesifik.

  1. Husqvarna Vitpilen dan Svartpilen

*Peluang masuk Malaysia: 10/10

Percaya atau tidak, kami dimaklumkan bahawa Husqvarna akan kembali di Malaysia menerusi dua model, Vitpilen dan Svartpilen yang akan dilancarkan pada Januari 2021.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kedua-dua model terbabit membabitkan model 701, 401 atau 250 ketika ini.

  1. Kawasaki ZX-25R

*Peluang masuk Malaysia: 5/10

Kawasaki ZX-25R merupakan motosikal 250cc dengan empat silinder dan telah pun dilancarkan di Indonesia awal tahun ini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada model ini akan dilancarkan di Malaysia susulan masih menantikan sama ada model ini akan dibawa masuk oleh pihak MODENAS hasil kerjasama dengan KHI (Kawasaki Heavy Industries) atau tidak.

  1. Honda Winner X

*Peluang masuk Malaysia: 4/10

Peminat kapcai di Malaysia masih ternanti-nanti Honda RS150R akan tampil dengan bentuk Winner X yang dipasarkan di Vietnam.

Hanya Winner X dilihat mampu mengubat kekecewaan terhadap RS150R V2 yang tampil dengan rekaan Supra GTR 150 yang dipasarkan di Indonesia.

Bagaimanapun, masih tiada sebarang berita mengenai model ini dari pihak Boon Siew Honda namun harapan untuk menyaksikan Winner X tampil menerusi RS150R V3 itu masih ada.

Demikian 12 motosikal yang kami rasakan mungkin akan mendarat di Malaysia tahun depan namun apa yang pasti, pasaran dua roda akan bertambah rancak dengan pelbagai model akan dilancarkan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.