Honda Malaysia Panggil Semula 2,784 Unit Accord Dan CR-V Berusia 20 Tahun

Honda Malaysia dalam satu kenyataan mengumumkan panggilan semula 2,784 unit model Accord dan CR-V berusia 20 tahun bagi menggantikan beg udara Takata.

Daripada jumlah tersebut, 1,380 unit membabitkan Accord model 1999 manakala baki 1,404 unit lagi adalah CR-V model tahun 2000.

Honda Malaysia percaya panggilan semula ini adalah penting sebagai langkah pencegahan bagi memastikan pemandu tidak akan berdepan masalah beg udara Takata tidak berfungsi dengan baik atau pecah.

Menurut Honda, sehingga kini tiada lagi insiden kecederaan membabitkan beg udara Takata bahagian pemandu dari dua model ini.

Sementara itu, pemilik yang terkesan akan dimaklumkan menerusi surat namun, Honda Malaysia menggesa semua pemilik terkesan untuk menghubungi pengedar rasmi Honda bagi membuat janji temu.

Orang ramai yang mempunyai saudara mara yang memiliki Accord 1999 dan CR-V 2000 juga diminta untuk segera menghubungi Honda Malaysia bagi menggantikan beg udara tersebut secara percuma.

Pada masa sama, orang ramai yang tidak pasti akan model yang dimiliki boleh menghubungi Honda di talian bebas tol 1-800-88-2020 untuk membuat semakan.