Modenas Elegan 250 ABS 2020 Dilancarkan – RM15,315

Advertisements

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan Elegan 250 baharu untuk pasaran tempatan.

Motosikal jenis skuter maxi popular ini kini muncul dengan sistem ABS (anti-lock braking system) untuk tahun 2020.

Meskipun Elegan 250 ABS ini masih lagi menampilkan rekaan sama seperti model sebelumnya namun Modenas mendedahkan terdapat beberapa penambah baikan dilakukan terhadap jentera ini.

Antaranya ciri baharu tersebut membabitkan paparan digital yang memaparkan info tambahan antaranya meter perjalanan, jam digital, volt meter di samping fuel reminder.

Elegan 250 ABS ini turut tampil dengan slot pengecas USB yang terletak di bahagian bawah handle kiri.

Bagaimanapun, kemas kini terbesar adalah sistem ABS ‘dual channel’ yang diperkenalkan bagi tahun 2020 sekaligus meningkatkan tahap efisien sewaktu membrek dalam apa jua keadaan.

Pada masa sama, pencahayaan juga lebih baik dengan penggunaan lampu jenis LED dan DRL (daytime running light).

Sementara itu, Elegan 250 ABS ini masih lagi menawarkan enjin 249.1cc SOHC yang menjana 16.5kW pada 7,000rpm dan 22.4Nm pada 6,500rpm.

Modenas Elegan 250 ABS kini muncul dengan dua warna pilihan, Satin Matte Red dan Satin Matte Black dengan harga RM15,315.