MotoGP:Jorge Lorenzo Akui Sedang Berbincang Dengan Aprilia

Advertisements

Jorge Lorenzo mengesahkan dia sedang dalam perbincangan dengan Aprilia bagi peranan pelumba uji pasukan itu tahun depan.

Bagaimanapun, juara dunia tiga kali itu mendedahkan pilihan pertamanya adalah terus kekal bersama Yamaha ketika ini.

Menurut laporan AS.com, Lorenzo bertegas mahu terus kekal di Yamaha.

*Jorge Lorenzo

“Saya mahu terus memainkan peranan selaku pelumba uji di Yamaha.

“Kerana saya telah meraih kejuaraan bersama mereka di samping selesa dengan jentera tetapi pilihan lain juga ada antaranya Aprilia,” jelasnya.

Hubungan Lorenzo bersama Yamaha kelihatan runcing tatkala dia hanya membuat ujian menggunakan jentera 2019 di samping tidak diberi masa panjang sewaktu ujian di litar Portimao.

Menurut Lorenzo, dia juga agak terkilan apabila diarahkan untuk turun ujian di Portimao diminit akhir meskipun dimaklumkan sebaliknya sebelum itu.

“Saya hanya turun sewaktu Winter Test selama dua hari di Sepang dan kemudian baru-baru ini di Portimao

“Pada Jun lalu sewaktu ‘lockdown’ Covid-19, saya dimaklumkan oleh Yamaha bahawa tiada lagi ujian dijalankan tahun ini jadi saya memperlahankan rentak.

“Kemudian tiba-tiba Yamaha memaklumkan tentang ujian di Portimao di minit akhir dan waktu itu saya lakukan apa yang terdaya untuk mendapatkan rentak kerana sudah lapan bulan tidak menunggang jentera MotoGP.

“Tetapi saya sudah kehilangan rentak, refleks dan reaksi terhadap jentera. Sukar untuk memberikan yang terbaik apabila terpaksa turun di minit akhir di samping menunggang jentera lama,” tambahnya.

Pada masa sama, perbincangan bersama Aprilia membabitkan projek besar untuk mengembalikan jenama itu ke peringkat tinggi sepertimana dilakukan Dani Pedrosa di KTM.

Lorenzo juga mendedahkan berminat untuk menjadi mentor kepada Andrea Iannone sekiranya dia dibenarkan beraksi musim depan.

Sekiranya Lorenzo berhijrah ke Aprilia, desas desus mengatakan peranan itu bakal diambil alih Andrea Dovizioso. – AS.com

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.