Ini 5 Sebab Kenapa Motosikal Ducati Terlampau Mahal

Advertisements

“Kenapa Ducati mahal sangat harganya?”

Itu soalan yang sering diajukan bukan sahaja oleh komuniti motosikal malah orang ramai.

Soalan itu amat relevan kerana hakikatnya, motosikal Ducati sememangnya didatangkan dengan tanda harga yang tinggi.

*Kilang Ducati di Bologna, Itali

Sejak 1926 lagi, kilang di Borgo Panigale Itali itu hanya tahu menghasilkan satu produk sahaja, motosikal.

Namun, alasan itu sahaja tidak cukup untuk ‘menghalalkan’ tanda harga yang bukan sahaja di anggap ‘bangsawan’ di Malaysia malah di pelusuk dunia.

Ini lima (5) sebab kenapa motosikal Ducati mahal terlampau.

  1. Terbukti Di Kejuaraan Dunia
*Ducati MotoGP

Ducati sememangnya terbukti di medan perlumbaan dengan 51 kemenangan setakat ini di pentas MotoGP menerusi Casey Stoner, Andrea Dovizioso, Loris Capirossi, Jorge Lorenzo, Danilo Petrucci, Troy Bayliss dan Andrea Iannone.

Mereka turut cemerlang di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) denngan 350 kemenangan.

  1. Jenama Premium
*Ducati Streetfighter V4 S

Berbanding jenama motosikal lain, Ducati mengetengahkan imej premium sejak 1926 lagi sepertimana Ferrari dan Lamborghini bagi platfom empat roda.

Bagi mengekalkan status premium, Ducati mengguna pakai alat yang mahal bagi menghasilkan setiap motosikal maka tak hairanlah Ducati mensasarkan pembeli yang memiliki poket tebal dan berpuluh kad kredit.

  1. Tidak Dihasilkan Dengan Jumlah Besar
*Hanya 500 unit dihasilkan bagi Superleggera V4

Ketika pengeluar lain memfokuskan penggunaan mesin dan robot bagi menghasilkan motosikal secara besar-besaran, Ducati masih lagi mengguna pakai tenaga kerja manusia.

Senario ini menyaksikan motosikal Ducati dihasilkan dalam jumlah yang sedikit.

Apabila kurang mesin dalam bahagian pengeluaran, kos pengeluaran adalah lebih tinggi lantas produk yang dihasilkan juga lebih mahal.

Tidak hairanlah rata-rata motosikal Ducati (baharu) mencecah harga RM100,000!

  1. Reka Bentuk Luar Biasa
*Rekaan depan Streetfighter V4 diinspirasikan dari watak Joker

Ducati memang dibina dengan satu elemen penting, menarik perhatian orang ramai tidak kira di mana sahaja.

Sebagai contoh jika berada di BHP Karak, di antara lautan motosikal, Ducati tetap mencuri tumpuan.

Ini kerana setiap rekaan Ducati bukan hanya untuk tampak cantik malah menusuk sanubari setiap peminat dua roda.

*Ducati Streetfighter V4 kini di Malaysia

Lihat sahaja Ducati Panigale V4 dan Streetfighter V4 terbaru, terbeliak mata bagi semua yang memandang.

Fakta setiap jentera Ducati dihasilkan di Itali juga antara menjadi daya penarik utama.

  1. Berkuasa!

Jentera sportsbike, Ducati Panigale V4 R menghasilkan 234hp pada 15,250rpm dan 112Nm pada 11,500rpm manakala Streetfighter V4 menjana 208hp pada 12,750rpm.

Bayangkan, sebuah motosikal naked menawarkan kuasa seangkatan dengan segmen superbike?

Bukan itu sahaja, motosikal adventure, Multistrada 1260 S menawarkan 140.45hp pada 9,810rpm berbanding 134hp yang ditawarkan BMW R 1250 GS!

Hakikatnya, tak kira model Ducati mana pun yang ditawarkan, masing-masing akan menghasilkan kuasa yang lebih tinggi berbanding pesaing lain.