Moto3: Karier KIP Bersama PETRONAS Sprinta Berakhir

Selepas dua musim bersama PETRONAS Sprinta di Moto3, pelumba negara, Khairul Idham Pawi (KIP) akan meninggalkan pasukan itu hujung musim ini.

*Khairul Idham Pawi bersama John McPhee

Perkara itu disahkan sendiri prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali dalam satu kenyataan, hari ini.

*Datuk Razlan Razali

“Walaupun mengenali kemampuan dan potensi KIP namun selepas dua tahun jelas kami tidak dapat memenuhi sasaran ditetapkan.

“Dibelenggu kecederaan telah mengekang prestasi KIP dalam tempoh dua musim ini dan selepas perbincangan kami bersetuju bahawa hala tuju yang berlainan penting untuk kedua belah pihak.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada KIP,” jelasnya.

Terbaru, KIP terpaksa membuang sebahagian daripada jari kelingking dalam usaha untuk terus beraksi musim ini.

*Khairul Idham Pawi

“Tempoh dua musim ini ternyata sukar buat saya terutamanya selepas kecederaan yang dialami. Tetapi saya tetap menghargai masa saya di PETRONAS Sprinta Racing.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua, termasuk kru kerana sentiasa membantu saya selama dua tahun ini.

“Saya harapkan mereka berjaya pada masa akan datang kerana mereka adalah individu yang hebat,” jelas pelumba Moto3 itu.

Sementara itu, KIP turut mengakui dia akan terus berlumba dan akan mencari jalan terbaik untuk kariernya.

“Saya mahu terus berlumba jadi saya akan cari opsyen terbaik demi karier saya. Saya akan berikan yang terbaik untuk menunjukkan potensi sebenar sekaligus membalas jasa peminat yang telah menyokong saya selama ini,” tambahnya.

Terdahulu, seorang lagi pelumba negara di Moto2, Hafizh Syahrin kehilangan tempatnya di Aspar Team selepas pasukan itu membuat keputusan menaik taraf Albert Arenas dari Moto3, musim depan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply