MotoGP: Quartararo Rangkul Kemenangan Ketiga, Mir Terus Cemerlang

Fabio Quartararo kembali mendahului kejuaraan dunia MotoGP selepas mendominasi GP Catalunya, hari ini.

Pelumba Petronas Yamaha SRT itu mempamerkan tunggangan konsisten untuk mengutip 25 mata sekaligus kembali meletakkan kedudukannya selaku pendahulu.

Sementara itu, seorang lagi pesaing kejuaraan, Joan Mir (Suzuki Ecstar) mengulangi kejayaan di Misano minggu lalu apabila mendapat tempat kedua.

Walaupun bermula di petak ke-8, senario itu tidak menyekat Mir untuk mengejar kelompok depan dan seterusnya merekodkan podium ketiga (empat keseluruhan) berturut-turut.

Rakan sepasukan Suzuki, Alex Rins melengkapkan podium dengan tempat ketiga selepas berjaya memintas Franco Morbidelli (Petronas SRT) yang terpaksa berpuas hati dikedudukan keempat meskipun suatu ketika mendahului perlumbaan.

Ini merupakan kejayaan sulung Suzuki untuk merekodkan ‘double-podium’ sejak tahun 2007 di Misano.

Kejayaan Quartararo meletakkan dia kini dengan 108 mata, diikuti Mir, 100 mata dan Maverick Vinales, 90 mata.

Dalam perkembangan sama, juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi dalam penampilan ke-350 dalam karier di MotoGP, gagal menamatkan perlumbaan apabila terbabas dipertengahan perlumbaan.

Pelumba berusia 41 tahun itu menjadi fokus tatkala disahkan menjadi pelumba Petronas SRT bagi musim 2021.

Aksi MotoGP akan kembali bersambung pada 11 Oktober ini di GP Perancis.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]