Benelli Dapat Suntikan Enjin MV Agusta Brutale 1000

Advertisements

MV Agusta akan bergandingan pengeluar motosikal China, QJ Motor bagi membantu pengedaran jentera Itali itu di China.

Bagaimanapun, kerjasama itu tidak berhenti disitu apabila QJ Motor – pemilik jenama Benelli – dicanang akan memperkenalkan jentera baharu yang akan mengguna pakai enjin daripada MV Agusta.

Benelli turut berkongsi imej ‘kabur’ enjin empat silinder tersebut yang akan ditayangkan di CIMA, yang sedang pun berlangsung ketika ini.

Gambar enjin itu sama dengan enjin yang diguna pakai MV Agusta pada model F4 (sportsbike) dan Brutale 1000 (naked).

MV Agusta Brutale 1000

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada penggunaan enjin tersebut hasil perjanjian dua hala atau MV Agusta telah pun menjual hak rekaan enjin tersebut kepada QJ Motor.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MV Agusta, Timur Sardarov, kerjasama ini menyaksikan mereka kini memasuki Fasa 2 dalam mengembangkan jenama MV Agusta.

“Saya teruja dengan perjanjian bersama QJ motor yang sekaligus menjadikan MV Agusta sebagai jenama motosikal premium Itali nombor satu di China.

“Kerjasama jangka panjang ini akan terus berkembang untuk 5 tahun akan datang. QJ merupakan pemain global yang besar dan saya yakin kami mampu berkembang pesat.

“Kami juga sedang membangunkan sesuatu yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Pengumuman itu mungkin merujuk kepada penggunaan enjin MV Agusta oleh Benelli bagi jentera berkuasa tinggi akan datang.

Benelli 720S

Ketika ini, Benelli 752S dan Leoncino 800 merupakan enjin (parallel-twin) terbesar ditawarkan Benelli.

Meskipun dikilangkan di Wenling, China namun Benelli masih mengekalkan ibu pejabat dan R&D di Pesaro, Itali sekaligus mengekalkan kredibiliti sebagai jenama Itali.

Tidak hairanlah, Benelli TRK 502 merupakan motosikal adventure paling laris dijual di Itali dalam tempoh dua tahun.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.