Cadangan Perkenalkan Lesen Dan Nombor Plat Basikal, Azizulhasni Buka Mulut

Atlet berbasikal negara dan ranking no.2 dunia Keirin (lelaki), Azizulhasni Awang meluahkan pendapat mengenai cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berkaitan berbasikal di lebuhraya.

MIROS menerusi ketua pengarah, Dr. Khairil Anwar Abu Kassim mencadangkan untuk perkenalkan lesen dan nombor plat bagi penunggang basikal di Malaysia sebagai langkah keselamatan apabila berbasikal di jalan raya awam.

Bagaimanapun, Azizulhasni menerusi laman Facebook menyifatkan langkah itu seharusnya menjadi pilihan terakhir.

“Ramai yang mintak saya komen pasal cadangan basikal perlu lesen dan plat ini. Saya cuba ringkaskan sebaik mungkin kerana kalau nak cerita dengan lebih terperinci mungkin agak panjang huraian dan penjelasannya,” jelasnya.

Berikut antara cadangan Azizulhasni mengenai isu berbasikal di lebuhraya:

  • Pihak berkuatkuasa perlu duduk berbincang dengan pelbagai pihak untuk hadir dengan satu polisi atau peraturan baru bagi kaki basikal ini. Peraturan yang saya maksudkan disini adalah peraturan ketika berkayuh di lebuh raya, peraturan berkayuh di jalan-jalan kampung, peraturan berkayuh di off-road dan peraturan-peraturan yang bersangkut-paut dengannya. Juga perlu ada sebuah polisi keselamatan integrasi di jalan raya.
  • Perlu ada kempen dan awareness program/projek tentang kayuhan dengan selamat dan betul. Saya pun tak suka bile tengok rakan-rakan cyclist lain yang kayuh macam atuk nenek mereka punya jalan kerana ini membahayakan keselamatan dan boleh menimbulkan kemarahan pengguna jalanraya yang lain. Tapi saya percaya juga kebanyakan dari mereka ini tidak mempunyai pengetahuan asas cara-cara serta peraturan ketika di jalan raya. Maka kita perlulah beri perhatian bab ini. Cadangan ini adalah lebih cost effective berbanding cadangan seterusnya.
  • Berkayuh di jalan raya bahayakan? Maka boleh difikirkan untuk membina litar basikal dimana hanya peminat sukan berbasikal boleh berkayuh disini tanpa gangguan kenderaan lain. Tak payah pergi jauh, negeri jiran kita, Thailand pun dah lama ada litar basikal ini. Boleh google ‘Skylane Bangkok’, terletak berdekatan Suvarnabhumi Airport, trek berbasikal ini amat popular di bangkok dan mempunyai jarak 23.5km satu pusingan. Kayuh la sampai lebam kat dalam tu. Korea pun dah lama ada trek khas basikal ini dan diorang lagi hebat, trek yang jaraknya nearly 1000km dan menghubungkan dari negeri ke negeri lain. Peminat sukan basikal boleh berkayuh stage by stage ala-ala macam tour de langkawi (touring) dan mereka yang complete total 1000km tu akan dapat certificate.

Menurut Azizul, sekiranya perkenalkan lesen dan nombor plat kepada penunggang basikal maka penunggang akan mempunyai hak sama di jalan raya dan secara tidak langsung kerajaan perlu mewujudkan infrastruktur khas seperti di negara Eropah lain antaranya Belanda.

“Antara beberapa faktor utama (nombor plat dan lesen) ditolak kerana ia tidak mengubah ‘behaviour’ atau perlakuan pengayuh basikal itu dan keduanya menimbulkan kepayahan kepada kanak-kanak yang juga berkayuh ke sekolah (dan sebagainya) dan boleh menghalang minat ke arah aktiviti yang lebih sihat,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa penunggang basikal yang didapati berbasikal di lebuh raya boleh berdepan tindakan penjara tidak lebih TIGA BULAN dan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Penunggang basikal boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu melarang atau menyekat daripada menggunakan kenderaan di atas mana-mana jalan yang tertentu.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply