GP Styria: Miguel Oliviera Juara Di Red Bull Ring

Miguel Oliviera, merekodkan kejutan di GP Styria apabila muncul pemenang meskipun berada di tempat ketiga ketika memasuki selekoh terakhir.

Litar Red Bull Ring sekali lagi mengundang pelbagai drama selepas kemalangan ngeri yang berlaku minggu lalu.

Suzuki pada awalnya mendahului perlumbaan menerusi Joan Mir namun segalanya berubah apabila bendera merah dikibarkan susulan kemalangan menimpa pelumba Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales ketika perlumbaan berbaki 13 lap.

Difahamkan, Vinales berdepan masalah brek yang memaksa pelumba itu untuk meninggalkan jenteranya di Turn 1 pada kelajuan sekitar 215km/j.

Mir yang mempamerkan tunggangan mantap hilang kedudukan selaku pendahulu perlumbaan apabila ketinggalan sebaik aksi dimulakan semula yang menyaksikan Jack Miller (Pramac Ducati) menjadi pendahulu baharu.

Mir cuba bangkit namun keadaan tayar depan yang mula terjejas memberi kesan terhadap percubaan keduanya untuk kembali didepan tatkala Espargaro, Miller dan Oliviera kembali dengan set tayar baharu sebaik dimulakan semula.

Aksi kejar mengejar di antara Miller dan Pol Espargaro (Red Bull KTM) berterusan sehingga ke lap terakhir dengan Oliviera tenang di kedudukan ketiga.

Bagaimanapun, ketika menghampiri selekoh terakhir sebelum sampai ke garisan penamat, perebutan tempat pertama di antara Miller dan Espargaro mula sengit dan memaksa kedua-duanya tersasar daripada litar.

Senario itu membuka peluang buat Oliviera untuk memintas kedua-dua pelumba dan menamatkan perlumbaan sebagai pemenang dengan catatan masa 16 minit 56.025saat diikuti Miller kedua (+0.316s) dan Espargaro ketiga (+0.540).

Oliviera turut muncul selaku pelumba Portugal pertama yang berjaya merekodkan kemenangan di kelas premier dan turut memenangi sebuah BMW M4 serba baharu daripada BMW M atas kejayaannya kali ini!

Sementara itu, pendahulu kejuaraan kekal Fabio Quartararo (Petronas SRT) dengan 70 mata diekori rapat dengan Andrea Dovizioso (Ducati) dengan 70 mata dan Jack Miller ketiga dengan 56 mata.

Aksi MotoGP kembali bersambung dua minggu lagi di Litar Misano.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]