MotoGP: Dovizioso Tinggalkan Ducati, Di Mana Silapnya?

Advertisements

Ketika sesi kelayakan GP Austria berlangsung semalam, pengurus Andrea Dovizioso mendedahkan pelumba itu tidak akan bersama Ducati bagi musim 2021.

Simone Battistella membuat pendedahan mengejut tersebut ketika temu bual bersama Sky Italia.

Ini bermakna Ducati bakal mempertaruhkan dua pelumba baharu bagi musim 2021, menerusi Jack Miller yang menggantikan Danilo Petrucci sementara calon pengganti Dovizioso kekal sebagai tanda tanya.

Pelumba berusia 34 tahun dan Ducati seakan merpati dua sejoli sekaligus tiada siapa menyangka perkara sebegini akan berlaku.

Persoalannya sekarang, dimana silapnya?

Seperti pemain bola sepak Eropah yang mahu berhijrah atas faktor gaji, senario sama menimpa pelumba bintang itu.

Segalanya bermula 5 tahun lalu pada 2015 apabila timbul dakwaan Ducati berminat untuk memancing Jorge Lorenzo dari Yamaha.

Namun, senario itu kekal sebagai khabar angin tatkala Ducati sendiri bergelut untuk cuba mengekalkan Dovizioso dan Andrea Iannone dalam satu pasukan.

Kemudian, timbul dakwaan Dovizioso terpaksa menerima keputusan potong gaji (pay cut) agar Ducati dapat memastikan kedua-dua pelumba kekal bersama.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila Iannone melanggar Dovizioso ketika di GP Argentina 2016 dalam perebutan tempat pertama dan kedua.

Senario itu turut menyebabkan Ducati membuat keputusan menyingkirkan Iannone dan menggantikannya dengan Lorenzo namun keputusan itu tidak mengubah nasib Dovizioso yang masih berdepan potongan gaji.

Ketika Lorenzo ditawarkan kontrak dengan gaji besar, Dovizioso dibayar dengan gaji lebih kecil tetapi itu tidak menghalangnya daripada merekodkan kemenangan dan mencabar kejuaraan dunia sementara Lorezo bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera Ducati.

Meskipun Lorenzo meninggalkan Ducati, Dovizioso terus cekal bersama pasukan itu walaupun dengan bayaran yang lebih rendah dan terus memberi saingan kepada dominasi Marc Marquez.

Lantas, bukan satu kejutan memasuki tahun 2020, Dovizioso dan Ducati gagal mencapai persetujuan ketika perbincangan kontrak lanjutan berlangsung.

Mungkin Ducati secara tidak langsung sedar, Dovizioso tidak akan mampu mencabar Marquez sekaligus mencurahkan bayaran besar kepada pelumba yang berusia lebih tiga dekad itu bukan langkah yang munasabah.

Malah, kegagalan Ducati menghasilkan jentera MotoGP mengikut acuan Dovizioso turut mengundang rasa ketidakpuasan hati pelumba kelahiran Forlimpopoli, Itali itu.

Sekaligus membawa ke situasi semasa, apabila Battistella mendedahkan pelumba itu membuat keputusan untuk angkat kaki hujung musim ini.

Apatah lagi apabila pengurus itu mendedahkan Dovi dan Ducati tidak pernah berbincang terma dan syarat sebaliknya kedua-duanya enggan meneruskan perbincangan sebelum topik bayaran gaji dibangkitkan.

Persoalannya, adakah ini bermakna Dovizioso merajuk ekoran tidak dibayar gaji yang setimpal lantas membuat keputusan untuk menamatkan hubungan lapan tahun bersama Ducati?

Tidak.

Sebaliknya, mungkin pelumba itu mahu dianggap sebagai ‘berharga’ kepada pasukan itu selepas mengambil kira sumbangannya selama ini.

Situasi ini membawa kepada persoalan kedua, apakah destinasi seterusnya buat Dovizioso selepas ini?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.