MotoGP: Tunggangan Agresif Hadirkan Kemenangan Buat Brad Binder

Brad Binder berjaya merekodkan kemenangan sulung di kelas premier MotoGP selepas mendominasi GP Republik Czech, semalam.

Ini merupakan musim sulung Binder di kelas premier bersama pasukan Red Bull KTM namun itu tidak menyekatnya untuk mengetepikan saingan pelumba lain yang lebih berpengalaman.

Pelumba Afrika Selatan itu bukan sahaja menghadirkan kemenangan sulung dalam kariernya malah untuk pasukan KTM.

“Sukar untuk dipercayai. Ini adalah impian saya selama ini dan hari ini impian ini terlaksana. Saya tak tahu apa nak cakap!

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu saya, ahli keluarga dan pasukan sentiasa memberikan sokongan yang saya perlukan.

“Sukar untuk dipercayai bahawa kami akan berada di tahap ini,” jelasnya.

Binder pada suatu ketika berada di belakang Fabio Quartararo namun dia mempamerkan tunggangan lebih baik untuk memintas pendahulu kejuaraan itu sebelum memulakan misi mengejar pendahulu perlumbaan, Franco Morbidelli ketika perlumbaan berbaki kurang 10 lap.

Menyedari Morbidelli terkesan dengan keadaan tayar, Binder mula membuat pecutan dan memintas ketika aksi berbaki 7 lap.

“Ketika tiba di Brno, saya memberitahu diri saya untuk tidak terlalu gopoh seperti sebelum ini. Pada awal perlumbaan saya tidak terlalu agresif namun ketika saya nampak peluang itu, saya terus melakukan pecutan.

“Nasib baik saya tidak terbabas atau melanggar sesiapa kali ini.

“Saya nampak Franco mula bergelut dengan tayar belakang dan ketika itu tayar saya berada dalam keadaan baik jadi saya ekori rapat dibelakangnya sebelum mencari peluang terbaik.

“Ketika saya berada didepan, saya terfikir ‘saya sedang mendahului perlumbaan MotoGP,’ dan ketika jurang semakiin besar saya berasa lebih terkejut. Dalam baki tiga lap terakhir, tiada sesiapa di belakang saya,” tambah Binder.

Kemenangan Binder seakan telah tertulis tatkala pelumba berusia 24 tahun itu sepatutnya menyertai KTM Tech3 musim ini namun keputusan Johan Zarco untuk meninggalkan Red Bull KTM memberinya peluang untuk mengisi slot tersebut.

Zarco – yang kini bersama Avintia – menamatkan aksi di tempat ketiga manakala Morbidelli mengisi tempat kedua.

Saingan MotoGP bersambung hujung minggu ini di Austria.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.