F1: Tayar Pancit Di Lap Terakhir Tak Gugat Hamilton Juarai GP Britain

Saat dramatik menyingkap di Litar Silverstone apabila Lewis Hamilton menjuarai GP Britain dengan hanya tiga tayar.

Hamilton mendahului perlumbaan sebaik dilepaskan dan tampak menamatkan aksi dengan selesa sehinggalah jenteranya mengalami masalah apabila tayar depan pancit sebaik memasuki lap terakhir.

Bagaimanapun, dia berjaya meneruskan aksi dengan ketiadaan tayar depan disebelah kiri untuk merekodkan kemenangan ke-87 dalam kariernya.

Kemenangan ketiga berturut-turut meletakkan Hamilton kini mendahului carta pendahulu dengan kelebihan 30 mata berbanding pencabar terdekat dan rakan sepasukan Valtteri Bottas.

Bottas yang berada di belakang Hamilton sepanjang perlumbaan turut berdepan masalah tayar lalu memaksanya memasuki pit namun senario itu menyaksikan dia gagal mengutip sebarang mata apabila menamatkan aksi di kedudukan ke-11.

Max Verstappen (Red Bull) dan Charles Leclerc (Ferrari) melengkapkan podium dengan kedudukan kedua dan ketiga.

Verstappen menamatkan perlumbaan hanya dipisahkan 5.856 saat dengan Hamilton yang berpeluang untuk muncul juara jika tidak kerana pasukannya memutuskan untuk membuat hentian pit percuma selepas masalah tayar yang menimpa Bottas.

Ini merupakan kejayaan ke-7 Hamilton di GP Britain yang juga merupakan rekod baharu bagi rekod paling banyak kemenangan di laman sendiri.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]