Reviu Kawasaki ZX-10RR 2019: Berbaloi Ke Untuk RM159,000?

Superbike sememangnya antara jentera kegemaran penunggang untuk digunakan pada hujung minggu terutamanya di Malaysia.

Tak hairanlah stesen minyak BHP Karak sentiasa dibanjiri jentera dua roda yang mahu mengasah tayar di lebuhraya Karak dan tak kurang juga ada yang mahu mencabar selekoh di Genting dan Bukit Tinggi.

Namun, ada segelintir yang tak buat kemunculan di hujung minggu kerana memilih menggunakan jentera kesayangan termasuk superbike untuk kegunaan harian.

Lumrah sama dihadapi penulis apabila Kawasaki Malaysia bagi kami pinjam ZX-10RR selama lima hari.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ditutup atas faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi penulis hanya mengharapkan litar jalan raya untuk ujian kali ini – meskipun sempat juga melayan selekoh di Batang Kali, Ulu Yam.

Jadi untuk reviu kali ini, dengarkan pendapat kami mengenai ZX-10RR di bawah:

Kawasaki ZX-10RR merupakan edisi ‘homologation special’ dan hanya terhad kepada 500 unit seluruh dunia.

Perbezaan ketara yang terdapat pada model kali ini adalah penggunaan conrod titanium termasuk ‘head’ engine yang telah direka semula sekaligus menawarkan rev RPM yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.

Rim forged Marchesini yang popular pada jentera Ducati Panigale turut diperkenalkan pada ZX-10RR.

Nadi 998cc yang terdapat pada ZX-10RR ini menghasilkan sekitar 203hp namun pada kelajuan tinggi hasil bantuan Ram air induction, angka tersebut boleh meningkat kepada 213hp.

Nilai yang dikongsikan itu sudah cukup membuktikan Kawasaki ZX-10RR selayaknya kekal di litar lumba dan bukan untuk kegunaan jalan raya biasa – melainkan hati penulis belum cukup kering tapi tak nak mengaku.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan jentera ini sangatlah ‘layan’ ketika menyelusuri selekoh, lagi kuat pulas ‘throttle’ lebih sedap dan tidak banyak kerenah hasil bantuan fork boleh laras Showa Balance Free yang diinspirasikan daripada teknologi WorldSBK.

Apa yang mengejutkan adalah kemampuan ZX-10RR ini menyelusuri selekoh pada kelajuan tinggi, terasa seakan seperti Jonathan Rea ketika melayan selekoh di Batang Kali.

Kadang-kala sehinggakan tak sedar kelajuan yang sedang direkodkan ketika sedang syok melayan selekoh sekaligus beri bayangan jurutera Kawasaki telah menghasilkan jentera yang hampir sempurna.

Ketika perlu memperlahankan jentera, brek kaliper Brembo M50 4-pot dengan cakera brek 330mm menghadirkan daya membrek yang efisien di samping bantuan ABS memastikan jentera kekal dalam kawalan penunggang.

Apatah lagi jentera ini didatangkan dengan pelbagai sistem elektronik tercanggih antaranya:

  • KIBS (Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System)
  • Kawasaki Launch Control
  • KQS (Kawasaki Quick Shifter)
  • Steering damper Ohlins
  • Kawasaki Engine Brake Control (boleh laras)
  • KCMF (Kawasaki Cornering Management Function)
  • Kawasaki Traction Control (KTRC)

Bagaimanapun, paparan meter LCD tampak sedikit ketinggalan dengan rata-rata pengeluar lain telah pun beralih kepada paparan TFT berwarna antaranya Ducati Panigale V4, Honda CBR1000RR dan Yamaha R1M.

Apatah lagi apabila anda perlu membayar RM159,000 untuk mendapatkan jentera terhad ini.

Secara rumusan, meskipun harga mencecah RM159,000 namun perlu diingatkan hanya 500 unit dihasilkan seluruh dunia sementara dengan setiap pembelian, pelanggan akan mendapat jentera dengan resepi kejuaraan di pentas WorldSBK.

Meskipun hanya membawa nama Kawasaki dan bukannya berdarah Itali, apa yang penting ‘korang’ tidak akan terserempak dengan model sama berbanding jenama lain yang bersepah di jalan raya terutamanya di hujung minggu.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply