MotoGP: Masalah Enjin Bikin Gusar Yamaha

Yamaha meraikan kejayaan di GP Andalucia baru-baru menerusi Fabio Quartararo, Valentino Rossi dan Maverick Vinales.

Quartararo menghadiahkan kemenangan kedua buat Petronas Sepang Racing Team (SRT) diikuti Rossi kedua dan Vinales melengkapkan podium bagi pasukan Monster Enegery Yamaha.

Bagaimanapun, disebalik kejayaan itu, pasukan masing-masing mula bimbang tatkala ketiga-tiga pelumba itu telah pun kehilangan tiga daripada lima enjin yang dibenarkan.

Franco Morbidelli jadi mangsa terbaru apabila mengalami insiden sama yang melanda Rossi dua minggu lalu apabila enjin kehilangan kuasa secara tiba-tiba.

Masalah enjin tersebut turut menyekat Morbidelli untuk menamatkan aksi di GP Andalucia di kedudukan keempat.

Setiap pasukan MotoGP tanpa konsesi – Yamaha, Honda, Ducati dan Suzuki – dibenarkan untuk menggunakan lima enjin bagi setiap pelumba dalam tempoh 13-pusingan musim ini.

Pada masa sama, pembangunan enjin telah dibekukan sehingga 2021 sekaligus bermakna Yamaha tidak boleh melaksanakan sebarang perubahan baharu ketika ini.

Kebiasaannya setiap pasukan akan menggunakan dua enjin bagi setiap pelumba ketika pusingan pertama dan bersilih ganti sebelum beralih ke enjin ketiga, keempat dan kelima.

Setakat ini, semua pasukan telah menggunakan dua enjin dalam dua perlumbaan – GP Sepanyol dan GP Andalucia – setakat ini kecuali Yamaha.

Menurut info dikongsikan Peter McLaren, Vinales telah pun menggunakan kelima-lima enjin, sementara Quartararo, Rossi dan Morbidelli telah pun menggunakan empat enjin.

Senario ini bermula dengan Vinales apabila menghadapi masalah dengan Enjin 2 pada Ujian Bebas yang memaksa dia menggunakan Enjin 3 pada Ujian Bebas 4 di GP Sepanyol.

Kemudian Rossi mengalami masalah sama ketika perlumbaan berlangsung dengan enjin jentera M1 ditunggangnya tiba-tiba mati.

Isu tersebut jelas menandakan masalah yang besar apabila Yamaha membuat keputusan untuk memulangkan dua enjin terbabit ke Jepun untuk diagnosis penuh sekaligus menandakan bahawa kedua-dua enjin tersebut tidak lagi boleh digunakan.

Keempat-empat pelumba Yamaha – Quartararo,Morbidelli, Rossi dan Vinales – kemudiannya diberikan dua enjin baharu untuk digunakan di GP Andalucia minggu lalu.

Namun, Morbidelli – yang menggunakan enjin baharu tersebut – terpaksa bersara awal meskipun enjin itu hanya digunakan dalam tiga sesi di litar.

Morbidelli mendedahkan Yamaha sedang memeriksa apakah punca kejadian tersebut.

“Jentera saya tiba-tiba mati enjin. Ketika ini kami tidak pasti apakah yang berlaku,” jelasnya.

Menurut peraturan, pelumba yang menggunakan lebih daripada lima enjin dalam satu musim perlu memulakan perlumbaan di pit, lima saat selepas lampu hijau menyala.

Senario itu pastinya mahu dielakkan terutamanya bagi pendahulu kejuaraan Fabio Quartararo dan Maverick Vinales.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]