MotoGP: Petronas SRT Raih Kejuaraan Sulung Bersama Quartararo, Marquez Kemalangan

Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo, menghadiahkan kejuaraan sulung buat dirinya dan pasukan dalam aksi pembukaan tirai di Gran Premio Red Bull De Espana, hari ini.

Ini merupakan kejuaraan sulung Quartararo dan pasukan Petronas SRT di pentas MotoGP.

Quartararo – yang menunggang jentera M1 Factory Spec – mempamerkan tunggangan mantap sebaik perlumbaan bermula dengan berjaya mengekalkan kedudukan selaku pendahulu sehingga tamat aksi.

Dia turut muncul sebagai pelumba Perancis pertama dalam tempoh 21 tahun untuk menjuarai kelas premier MotoGP.

Tempat kedua jadi milik pelumba Factory Yamaha, Maverick Vinales diikuti pelumba Ducati, Andrea Dovizioso.

Bagaimanapun, pelbagai drama berlaku di belakang Quartararo dengan penyandang juara, Marc Marquez gagal mengutip sebarang mata.

Marquez yang bermula di petak ketiga, jatuh ke kedudukan ke-16 apabila jenteranya hilang kawalan.

Dia kemudiannya berjaya mengejar kelompok depan sehingga menempatkan dirinya kembali di kedudukan ketiga setelah memintas Pol Espargaro, Franco Morbidelli, Jack Miller dan Andrea Dovizioso dengan mudah.

Sumber: MotoGP @ Twitter

Bagaimanapun, dalam percubaan untuk mengejar tempat kedua, Maverick Vinales, dia mengalami ‘highside’ lantas kemalangan dengan rakaman televisyen memaparkan dia kemungkinan alami kecederaan teruk di lengan kanan.

Dalam perkembangan lain, pelumba negara, Hafizh Syahrin berjaya menamatkan aksi Moto2 dikedudukan ke-6 sekaligus mengutip mata pertama (10 mata) musim ini.

Ini merupakan pencapaian terbaiknya musim ini selepas merekodkan kedudukan ke-19 dalam aksi pertama di Litar Losail, Mac lalu.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Kasma Daniel dari pasukan Onexox TKKR SAG Team menamatkan aksi di ekdudukan ke-22.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]