Saya 99 Peratus Akan Berlumba Bersama Petronas SRT Bagi 2021 – Rossi

Advertisements

Meskipun masih tiada sebarang hitam putih yang termeterai di antara Petronas Sepang Racing Team (SRT) dan Valentino Rossi namun pelumba itu mendedahkan dia hampir pasti akan berpindah.

Malah, pelumba yang telah pun memasuki usia empat dekad itu mendedahkan dia mungkin akan beraksi sehingga 2022 bersama Petronas SRT.

“Sudah tertulis yang saya akan menandatangani kontrak, saya juga telah berbincang dengan Yamaha dan Petronas.

“Hanya perlu menyelesaikan beberapa perkara kecil, ketika ini juga saya sedang berbincang dengan pasukan teknikal tetapi saya boleh katakan 99 peratus akan berlumba bersama mereka (Petronas SRT),” katanya kepada GPOne.

Pada masa sama, Rossi turut mendedahkan perancangannya selepas 2021.

“Saya tidak mahu ke Petronas semata-semata untuk menghabiskan musim terakhir di MotoGP. Jadi selepas berbincang dengan Jarvis dan Yamaha, saya akan ditawarkan pilihan lanjutan kontrak ke 2022,” tambahnya.

Ketika sesi ujian sulung di Jerez bagi menghadapi saingan pembukaan hujung minggu ini, Rossi berjaya merekodkan kedudukan kelima terpantas bagaimanapun dia masih belum berpuas hati.

“Saya belum puas hati dengan keseimbangan jentera M1 ini, masih banyak yang perlu dilakukan,” kata Rossi.

Saingan MotoGP akan kembali membuka tirai hujung minggu ini setelah sekian lama tergendala susulan pandemik Covid-19. – GPOne

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.