Pol Espargaro Sah Ke Repsol Honda, Kontrak Morbidelli Dilanjutkan

Advertisements

Pol Espagaro sah akan digandingkan bersama Marc Marquez di Repsol Honda bagi musim 2021.

Desas-desus mengaitkan Espargaro ke Honda bertiup kencang apabila Alex Marquez memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera RC213V.

Tempat Espargaro di KTM telah pun diisi Miguel Oliviera yang diangkat ke Redbull KTM dari KTM Tech 3 sementara slot kosong itu diisi pelumba Ducati, Danilo Petrucci bagi musim 2021.

Sementara itu, (Alex) Marquez sah sertai LCR Honda mengetepikan Cal Crutchlow bagi memberi ruang kepada Espargaro di Repsol Honda.

Ini merupakan kali pertama (Pol) Espargaro menyertai pasukan yang memiliki pengalaman kejuaraan di pentas MotoGP setelah tiga musim bersama Yamaha Tech 3 sebelum berhijrah ke KTM pada 2017.

Pelumba berusia 29 tahun itu kemudiannya muncul sebagai tonggak utama KTM untuk tiga musim berikutnya sebelum peluang sertai Repsol hadir awal bulan ini.

Repsol Honda dalam satu kenyataan berkata, “Honda Racing Corporation (HRC) dengan rasminya menandatangani khidmat Pol Espargaro. Dia akan sertai pasukan Repsol Honda untuk dua musim digandingkan bersama Marc Marquez dengan jentera RC213V.

Dalam perkembangan lain. Franco Morbidelli telah menandatangani kontrak lanjutan dua tahun bersama Petronas Sepang Racing Team (SRT) sekaligus mengesahkan tempatnya sehingga 2022.

Morbidelli memasuki kontrak terakhirnya musim ini dengan rakan sepasukan, Fabio Quartararo akan berhijrah ke pasukan Factory Yamaha musim depan menggantikan Valentino Rossi.

Kini persoalan mengenai gandingan Morbidelli bagi musim 2021 akan terjawab dengan khabar angin kuat mengaitkan Rossi ke SRT musim depan.

Ikuti kami di YouTube dan Instagram!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.