Pegawai JPJ Dipenjara 3 bulan, Terima Suapan Pinda Rekod MySikap

Advertisements

Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah meminda rekod lesen kenderaan motor (LKM) dalam portal MySikap.

Hukuman tersebut dibacakan Hakim, Mohd Ghazali Mohamad Taib di Mahkamah Sesyen Kuantan yang turut memerintah tertuduh, Ahmad Kamal Mohd Rosli membayar denda RM1,000.

Tertuduh yang berusia 39 tahun telah menerima rasuah sejumlah RM850 – RM400 dan RM450 – sekitar Jun 2017 daripada orang tengah.

Menurut laporan Harian Metro, tertuduh telah menerima suapan bagi mengubah tarikh tamat tempoh lebih setahun bagi kenderaan jenis Naza Ria dan Toyota Harrier supaya tidak perlu menjalani pemeriksaan PUSPAKOM bagi urusan pembaharuan cukai jalan.

Difahamkan, Ahmad Kamal telah menggunakan kata laluan miliknya bagi mengakses sistem MySikap dan membuat pindaan terbabit.

Ketika mahkamah bersidang, tertuduh telah beberapa kali merayu tidak dikenakan hukuman penjara ekoran perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah dan isterinya yang tidak bekerja.

Ikuti kami di YouTube dan Instagram!