Reviu Toyota RAV4 2.5L 2020: Mampu Ke Cabar Segmen C Di Malaysia?

Mampu.

Perkataan paling mudah yang boleh menggambarkan kemampuan Toyota RAV4 selepas selesai sesi pandu uji media di UMW Toyota sehari sebelum pelancaran model itu untuk pasaran tempatan, hari ini.

Didatangkan dengan dua varian, 2.0L dan 2.5L, Toyota RAV4 generasi kelima ini ternyata menghadirkan pengalaman pemanduan yang berbeza.

Toyota RAV4 generasi pertama mula diperkenalkan di Malaysia pada pertengahan 90an dan ketika itu lagi fokus utama model ini adalah menawarkan pemanduan seakan kereta sedan.

Kehadapan lebih 20 tahun kemudian, Toyota RAV4 2020 kembali dengan ciri lebih dipertingkat namun masih menawarkan pemanduan seakan kereta sedan.

Bagaimanapun, ciri paling baharu ditawarkan model 2020 ini penggunaan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), platform sama yang diperkenalkan pada model Camry.

Platfrom ini menjaminkan kestabilan dan ketangkasan pemanduan di samping menawarkan penglihatan yang jelas.

Prestasi enjin juga tidak mengecewakan, berkuasa tapi lancar menerusi enjin Dynamic Force dengan VVT-iE yang menawarkan 207hp pada 6,600rpm dan 243Nm pada 5,000rpm.

Pemanduan juga lancar dengan bantuan transmisi Direct Shift 8-kelajuan AT – CVT pada varian 2.0 – yang turut menawarkan penjimatan terbaik terutamanya ketika pemanduan di lebuh raya.

Rekaan keseluruhan tampak moden dengan berkonsepkan cross-oktagon dan penggunaan gril trapezoid menampakkan lagi gaya SUV.

Walaupun enjin dan platform RAV4 2020 harus diberikan pujian, kami juga perlu menghamburkan kata positif terhadap bahagian roda stereng yang mudah dikendalikan dan selesa.

Pemandu dan penumpang juga boleh menghargai rekaan dalam yang jelas diberikan penumpuan sama seperti bahagian luar.

Penggunaan kusyen tebal dan kemasan kulit di bahagian dashboard dan pintu memberikan imej mewah.

Paparan TFT berwarna 7-inci MID (Multi Information Display) dan paparan meter TFT menawarkan visual moden dan jelas kepada pemandu dan penumpang.

Tempat duduk belakang juga boleh memuatkan tiga orang dewasa dengan ruang letak kaki yang selesa.

Pelanggan yang mempunyai anak kecil juga boleh berasa selamat dengan adanya ciri ISOFIX di tempat duduk belakang.

Ruang tempat letak barang juga sangat luas yang boleh diakses dengan menggunakan kaki menerusi ‘Kick-Sensor’.

Pemandu dan penumpang akan mengalami pemanduan yang sangat selesa tanpa mengira situasi hasil daripada ‘floor silencer’ dan bahan penebat yang mengurangkan bunyi dan haba serta gegaran.

Ciri keselamatan terbaik turut diperkenalkan terhadap Toyota RAV4 ini menerusi Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi:

  • Pre-Collision System
  • Lane Departure Alert dengan Steering Assist dan Lane Tracking Assist
  • Dynamic Radar Cruise Control
  • Automatic High Beam
  • Blind Spot Monitor
  • Vehicle Stability Control
  • Anti-lock Brake System
  • Hill-start Assist
  • Emergency Stop Signal
  • Parking Sensors
  • Tyre Pressure Warning System
  • 7 bag udara SRS

Toyota RAV4 2020 telah pun diperkenalkan untuk pasaran tempatan secara strim langsung hari ini dengan varian 2.0 ditawarkan pada harga RM196,436 dan 2.5L, RM215,665.

Mencari SUV yang selamat, lancar dan tangkas di samping jimat minyak? Kami cadangkan pandu uji Toyota RAV4 serba baharu ini dan rasai sendiri pengalaman pemanduan terbaik.

Jangan lupa ikuti kami di YouTube dan Instagram!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]