PERODUA Sumbang RM2 Juta Ke Tabung Covid-19

Advertisements

Dalam usaha membantu kerajaan memerangi pandemik Covid-19, Perodua menyumbang RM2 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Bukan itu sahaja, Perodua turut menyumbang 150 tilam, 200 bantal, 105 kotak air mineral, 15 kipas dan 300 pasang kasut getah kepada para barisan hadapan berkhidmat di Hospital Sungai Buloh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad menyifatkan perjuangan menentang Covid-19 adalah tanggungjawab semua.

“Perjuangan menentang COVID-19 ini adalah tanggungjawab yang dipikul kita semua. Sumbangan bekalan dan tunai oleh Perodua merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu Malaysia dapat pulih secepat mungkin,” jelasnya.

Tabung Covid-19 merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat menangani pandemik tersebut menerusi sumbangan semua pihak.

Sementara itu, Dato Zainal turut meluahkan penghargaan terhadap Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diperkenalkan kerajaan dalam meringankan beban orang ramai.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas langkah-langkah ini. Perodua, bersama dengan seluruh rakyat Malaysia, berharap pandemik ini akan selesai dalam masa yang terdekat; juga dengan bilangan kes serta kematian yang minima. Kami juga mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang akibat COVID-19.

“Bagi Perodua, kami telah mengarahkan semua kakitangan, pembekal automotif tempatan dan pengedar sah kami untuk memberi tumpuan kepada keperluan dan kebajikan kakitangan mereka semasa MCO ini.

“Kami juga sedang memantau kesan wabak ini ke atas ekosistem kami serta memastikan gaji, faedah kerja dan pekerjaan warga Perodua terjaga. Kami komited untuk mengamalkan penjarakan sosial seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk membendung penyebaran virus ini,” jelasnya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.