Tak Kisah Bukan Rekaan Tempatan, Asalkan Mampu Milik Dan Berkualiti

Demikian keputusan yang kami perolehi selepas mengajukan soalan terhadap pengikut MotoMalaya.Net berhubung dengan Modenas menjenamakan semula Kawasaki Ninja 250 SE ABS yang bakal dilancarkan tahun ini.

Modenas mendedahkan model Ninja 250 SE ABS ketika pembentangan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, di MITI, baru-baru ini.

Difahamkan, model tersebut ditayangkan khas untuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Senario itu turut mengesahkan kenyataan dibuat Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan sebelum ini yang mendedahkan mereka bakal menjenamakan semula beberapa jentera Kawasaki bawah 700cc.

Kerjasama itu bukan satu kejutan tatkala Kawasaki Heavy Industries (KHI) memiliki pegangan 30 peratus saham Modenas yang mampu meningkat ke 48 peratus.

Bagaimanapun, daripada lebih 3,000 yang kami terima, 82 peratus bersetuju dengan konsep penjenamaan ini berbanding 18 peratus yang tidak bersetuju.

Ini menandakan langkah penjenamaan semula diterima baik majoriti orang ramai tatkala rata-rata mahukan jentera yang berkualiti namun pada harga yang berpatutan terutamanya berkaitan dengan kos servis dan alat ganti.

Untuk rekod, sebuah Kawasaki Ninja 250 SE ABS ditawarkan pada harga sekitar RM23,071 sekaligus dijangkakan versi penjenamaan semula oleh Modenas akan menawarkan harga yang lebih rendah.

Sementara itu, konsep penjenamaan semula bukan perkara baharu bagi Modenas tatkala melakukan perkara sama terhadap motosikal Bajaj yang terdiri daripada Pulsar NS200, RS200, V15 dan Dominar D400.

Pulsar NS200 mendapat perhatian pembeli yang tinggi tatkala lebih 7,000 telah pun terjual sebelum Modenas memperkenalkan versi ABS, awal tahun ini.

Pembukaan Modenas Powerstore di Kota Damansara turut menyuntik lebih ramai pembeli di sekitar ibu kota untuk mendapatkan jentera berkeupayaan ABS namun dengan harga bawah RM10,000.

Segala senario ini membuktikan, orang ramai tidak terkesan seadainya Modenas tidak lagi menghasilkan jentera sendiri malah menyokong tindakan penjenamaan semula daripada jenama motosikal yang telah terbukti kualitinya.

Apatah lagi menerusi cara ini, jenama motosikal seperti Kawasaki dan Bajaj mampu dimiliki dengan harga yang lebih mampu milik.

Ikuti kami di YouTube dan Instagram!

VIDEO HARI INI

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply