Lebih 240,341 Unit Dijual, Perodua Ucap Terima Kasih Rakyat Malaysia!

Perodua mencatat rekod jualan baharu dengan lebih 240,341 unit dijual berbanding 227,243 unit pada tahun sebelumnya.

Senario ini menyaksikan terdapat peningkatan lebih 13,098 unit (5.8 peratus) bagi tahun 2019 sekaligus rekod tertinggi dalam sejarah Perodua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato Zainal Abidin Ahmad menyifatkan pencapaian 2019 sebagai mengejutkan.

“Pencapaian ini di luar jangkaan kami. Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu mereka.

“Didorong permintaan yang tinggi, kami menjangkakan prestasi jualan kami tahun ini setanding dengan tahun lepas. Kami menetapkan sasaran jualan 240,000 unit untuk 2020 dan optimis ia boleh dicapai walaupun persaingan dijangka bertambah sengit tahun ini.

“Berdasarkan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) 604,775 unit, Perodua menguasai hampir 40% pasaran Malaysia, berbanding 38% tahun lepas,” jelasnya.

Sementara itu, Perodua berjaya menerajui semua segmen bagi 2019 dengan Aruz muncul SUV terlaris dengan jualan lebih 30,115 unit.

Myvi kekal sebagai kenderaan terlaris Perodua diikuti Axia, Bezza, Aruz dan Alza.

Pada masa sama, 15,000 unit Perodua Bezza 2020 – yang dilancarkan dua minggu lalu – telah pun diserahkan kepada pelanggan.

Bagi memenuhi permintaan pasaran 2020, Perodua turut dijangka membelanjakan lebih RM6 bilion berbanding RM5.4 bilion tahun lalu.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply