Aprilia Ikut Jejak Honda,Ducati, Beralih Ke Enjin V4 90-Darjah

 

Musim 2019 mungkin tidak menghasilkan keputusan yang diharapkan Aprilia di pentas MotoGP namun itu tidak menghalang mereka untuk mengejar keputusan lebih baik bagi 2020.

Aprilia merupakan pasukan pertama untuk mendedahkan jentera baharu bagi ujian pra-musim.

Meskipun tidak mendedahkan spesifikasi terperinci namun Motorsportmagazine.com mendakwa Aprilia bakal mengikut langkah Ducati dan Honda dengan mengguna pakai enjin V4 90-darjah hasil suntikan kewangan oleh Piaggio Group.

Aprilia telah pun menggunakan enjin V4 75-darjah sejak 2016 namun mereka gagal mencerna kuasa yang diharapkan.

Honda turut melalui pergelutan sama di antara 2011 dan 2012 apabila membuat keputusan menukar enjin RC212V 800cc 75-darjah kepada RC213V 1000cc 90-darjah.

Enjin V4 90-darjah mampu menawarkan pembakaran lebih optimum sekaligus meningkatkan pecutan dan kuasa enjin. Pada masa sama, enjin ini juga rendah geseran dan lebih stabil tanpa perlunya bantuan syaf pengimbang.

Sementara itu, ketua jurutera Aprilia, Romano Albesiano, menjelaskan enjin baharu itu lebih lebar berbanding enjin lama.

“Enjin baharu ini menawarkan lebih banyak kuasa di samping kawalan brek enjin yang lebih efisien. Kami juga telah mereka semula enjin agar crankshaft lebih kompak.

“Jadi secara keseluruhan, ini sememangnya enjin serba baharu,” jelasnya.

(SUMBER: Motorsportmagazine.com)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]