Reviu Honda CBR650R Dan CB650R: Untuk Si Kaki Pulas ‘Throttle’

Advertisements

Ketika Honda melancarkan CBR650F dan CB650F pada 2018, hanya bunyi enjin 4-inline menjadi tarikan sementara rekaan keseluruhan kedua-dua model ini gagal menambat hati peminat.

Mendengar keluhan itu, pada 2019, Honda melancarkan CBR650R dan CB650R dan bingkas meletakkan jenama itu kembali menerajui segmen ‘middleweight’.

Dengarkan reviu kami mengenai Honda CBR650R:

Selepas menguji kedua-dua jentera ini, rumusan kami, Honda tak main-main.

Honda CBR650R 2019 sememangnya layak untuk membawa nama abang besarnya, CBR1000RR Fireblade sementara CB650R yang merupakan adik kecil kepada CB1000R turut menawarkan keterujaan sama.

Suntikan enjin 650cc yang menjana 91hp pada 12,000rpm dan 64Nm pada 8,500 menjadikan kedua-dua model ini mainan untuk si penggemar pulas ‘throttle’.

Segala kuasa itu disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan dengan sistem multiple wet clutch.

Bukan itu sahaja, memahami kehendak peminat dua roda masa kini, CBR650R dan CB650R turut didatangkan dengan fork upside down Showa 41mm berbanding fork Dual Bending Valve Showa sebelum ini.

Bagaimanapun, ciri utama yang membezakan kedua-dua jentera ini adalah aspek rekaan, dengan CBR650R menerapkan DNA CBR1000RR Fireblade dengan full-fairing sementara CB650R membawa identiti Neo Sports Cafe sepertimana yang terdapat pada CB1000R dan CB250R.

CBR650R menyerlah dengan rekaan lampu depan LED yang diinspirasikan daripada CBR1000RR sementara CB650R bercirikan lampu depan sebuah cafe racer moden.

Dengarkan reviu kami mengenai Honda CB650R:

Meskipun bernadikan enjin yang sama namun pengalaman tunggangan kedua-dua model berbeza dengan tempat duduk ergonomik CBR650R lebih agresif berbanding CB650R yang lebih menegak.

Tetapi persamaan yang paling mencuri tumpuan, kedua-duanya boleh mengambil selekoh dengan cukup baik dan sistem traction control dan ABS yang didatangkan ternyata memudahkan lagi tunggangan.

Sementara itu, pada pendapat kami, paparan digital boleh ditambah baik tatkala kelihatan agak malap terutamanya di waktu siang dan kadang-kala menyukarkan kami untuk melihat kelajuan dan kedudukan gear.

Selain daripada permasalahan remeh tersebut, rata-rata kami bersetuju bahawa Honda CBR650R dan CB650R merupakan jentera yang menyeronokkan untuk kegunaan harian dan sesuai untuk apa jua keadaan tidak kira untuk ulang-alik ke tempat kerja, sekadar tunggangan hujung minggu atau untuk beraksi di litar.

Honda CBR650R boleh didapati dengan harga RM45,499 sementara CB650R ditawarkan pada RM43,499.