Si Penjual Merana, Kereta Lesap Dilarikan Lelaki Menyamar Pembeli

Seorang lelaki yang berniat untuk menjual kereta bagi mendapatkan kereta yang lebih besar demi keluarga berdepan nasib malang apabila dilarikan si pembeli.

Menurut laporan Harian Metro, mangsa yang hanya ingin dikenali sebagia Honn, memuat naik iklan untuk menjual kereta jenis Mercedes-Benz di Mudah.my pada 18 November lalu.

Dia kemudiannya dihubungi seorang lelaki yang kononnya ejen kepada pusat menjual kereta terpakai dan berminat untuk membeli kereta tersebut.

Mangsa dan ejen terbabit berjumpa di Bukit Jalil untuk sesi pandu uji sebelum ejen terbabit mengajaknya ke PUSPAKOM untuk membuat pemeriksaan ke atas kereta terbabit.

Bagaimanapun, sejurus tiba, lelaki tersebut terus menghunuskan pisau dan mengarahkan mangsa untuk keluar daripada kereta sebelum memecut meninggalkan tempat kejadian.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Setapak dan kes sedang disiasat mengikut 392/397 Kanun Keseksaan.

(SUMBER: Harian Metro)