Kesalahan Tiada Lesen Memandu, JPJ Keluarkan 275,544 Saman Bagi 2019

Sumber: Info Roadblock JPJ/Polis @ Facebook

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan sejumlah 275,554 saman telah dikeluarkan terhadap pemandu dan penunggang ekoran ketiadaan lesen memandu bagi tahun 2019.

Ketua Pengarah Perancangan Dan Operasi JPJ, Zamakhshari Hanipa menjelaskan kesalahan tiada lesen memandu sah dan lesen tamat tempoh masih lagi kekal sebagai punca saman tertinggi dikeluarkan JPJ.

Menurut laporan Berita Harian, sejumlah 143,869 saman dikeluarkan bagi tujuh kesalahan utama yang membabitkan lebih muatan, langgar lampu isyarat, tidak memakai tali pinggang keledar dan topi keledar, memotong di garisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, memotong di lorong kiri dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Angka tersebut tidak termasuk sejumlah 1 juta saman yang telah dikeluarkan JPJ bagi kesalahan lain yang direkodkan dari 1 Januari hingga 19 Oktober lalu.

Terdahulu, JPJ menjalankan Operasi Bersepadu di laluan bawah Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, malam tadi yang menyaksikan 812 notis kesalahan dikeluarkan sementara 23 motosikal dan sebuah kereta telah disita.

(SUMBER: Berita Harian)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.