Reviu Volkswagen Beetle 1.2TSI | Kisah ‘Katak’ Ikonik Tiba Ke Penghujungnya

Jika anda mencari senyuman dikalangan semua kereta yang terdapat di atas muka bumi, Volkswagen Beetle merupakan kereta yang tidak akan pernah gagal dalam mengukir senyuman bagi setiap pemerhati.

Bagaimanapun, selepas 81 tahun Beetle mewarnai jalan raya, jentera ikonik daripada Volkswagen itu bakal ditamatkan pengeluaran sejak kali pertama diperkenalkan pada 1938.

Meskipun dilihat sebagai jentera yang menghadirkan perasaan gembira, Beetle pernah dikaitkan dengan Adolf Hitler suatu ketika dahulu sebelum mendapat identiti sebagai ikon kelahiran semula Jerman selepas Perang Dunia Kedua.

Kemudian, memasuki era 60an, Beetle menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi ‘Baby Boomers’ sehingga Mexico dan Amerika Latin meneruskan pengeluaran model pertama itu sehingga 2003 meskipun Amerika Syarikat bertindak sebaliknya pada 1979.

Memasuki era 90an, ketika Volkswagen bergelut dengan penjualan, Ketua Pegawai Eksekutif VW, Ferdinand Piech tekad mempopularkan jenama mereka dengan menghasilkan New Beetle – hasil bantuan atuknya, Ferdinand Porsche.

Kerjasama itu menjadi apabila Beetle kembali mendapat tempat di hati orang ramai apabila dilancarkan pada 1998.

Hasilnya, lebih 80,000 unit berjaya dijual setahun selepas itu namun sejurus selepas itu populariti Beetle mula menurun.

Volkswagen Malaysia telah menghubungi MotoMalaya untuk memandu uji Beetle 1.2TSI 2018, Volkswagen telah pun mengumumkan untuk memberhentikan pengeluaran model tersebut tahun ini.

Jadi kami cuba mencari apakah punca jentera yang suatu ketika dulu amat popular kini berdepan tahun akhirnya pada 2019?

Ketika dilancarkan pada 2018 dengan tema ‘The Icon Is Back’, aura yang dirasai ketika New Beetle dilancarkan pada 1999 seakan tidak lagi menyala.

Reka bentuk

Hakikatnya, reka bentuk keseluruhan model 2018 ini masih mengekalkan rupa ikonik Beetle dengan lampu berbentuk bulan di bahagian depan dan belakang.

Model ini turut menawarkan empat tempat duduk meskipun didatangkan dengan dua pintu sahaja meskipun pembeli kini lebih gemar mengejar empat hingga lima pintu dan lima hingga tujuh tempat duduk.

Ruang dalam juga tampak ketinggalan dengan bahagian pemandu masih lagi disajikan dengan meter analog berbanding digital yang terdapat pada jentera lain dalam kelasnya.

Pada masa sama, VW Beetle 1.2TSI masih lagi menggunakan sistem kunci tradisional berbanding sistem ‘keyless’ yang semakin popular meskipun dikalangan kereta lain yang menawarkan harga lebih murah – Beetle TSI ditawarkan pada harga RM152,390.

Enjin

Seperti didedahkan pada namanya, enjin 1.2 liter empat silinder dengan ‘turbocharger’ ini menghasilkan 105hp pada 5,000rpm dan 175Nm pada 1,400 hingga 4,000rpm yang kemudiannya disalurkan menerusi transmisi DSG (direct shift gearbox) tujuh kelajuan.

Tidak dinafikan pemanduan Beetle baharu ini memang ‘A’ meskipun tampak klasik tetapi pengalaman memandu sememangnya setaraf dengan jentera masa kini.

Ruang Dalam

Perkara pertama yang akan menyambut si pemandu dan penumpang adalah bahagian depan yang tampak cukup menyerlah dengan tema klasik Beetle terutamanya pilihan warna ‘dashboard’ yang menyamai bahagian luar.

Namun begitu, bagi sebuah kereta yang berharga RM152,390 ruang dalam tidak seluas yang disangka namun tempat duduk masih menawarkan keselesaan yang baik.

Ciri Keselamatan

Apa sekalipun, Volskwagen tidak mengambil ringan aspek keselamatan tatkala Beetle 1.2TSI ini didatangkan dengan pelbagai ciri penting antaranya:

  • ABS dengan Brake Assit
  • Ant-skid Regulator (ASR)
  • Anti-theft alarm
  • Brake pad wear indicator
  • Electronic Stability Control (ESC)
  • Hill Start Assist
  • Park Distance Control (depan dan belakang)

Teknologi Terkini

 

Meskipun tampil dengan imej klasik namun Beetle ini masih lagi didatangkan dengan pelbagai ciri terkini antaranya App-Connect, cruise control, lampu depan Bi-Xenon dan paddle shifters.

Rumusan

Jika Beetle baharu ini tampi dengan pelbagai ciri menarik apakah puncanya Volkswagen memutuskan untuk memberhentikan pengeluaran model ikonik ini?

Seperti yang dikongsikan, pembeli lebih gemar mencari kereta yang praktikal dengan empat pintu serta lima tempat duduk maka tidak hairanlah model Volkswagen lain lebih mendapat perhatian seperti Tiguan, Golf dan Passat.

Pada masa sama, ciri terkini seperti sistem ‘keyless’ dan paparan LCD serta bahagian infotainmen juga memainkan peranan dalam membuat pembelian sekaligus membuatkan Beetle dengan harga ditawarkan tidak lagi popular.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.