Perodua Axia STYLE Mula Terima Tempahan Di Sri Lanka

Perodua Axia STYLE buat penampilan sulung di Pameran Motor Colombo Seylan, Sri Lanka hari ini sekaligus menandakan model baharu itu bakal dipasarkan di negara terbabit.

Pengedar Perodua di Sri Lanka, Unimo-Enterprise memaklumkan bahawa pihaknya telah pun menerima tempahan bagi model baharu tersebut dengan penghantaran akan bermula tahun depan.

Varian Perodua Axia 2019 itu ditawarkan dengan harga Rs3.895 juta (RM89,000).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Zainal Abidin Ahmad mengakui Sri Lanka sebagai antara destinasi eksport utama Perodua.

“Sri Lanka merupakan pasaran luar negara terbesar bagi jenama Perodua, di mana Axia disambut baik dengan kira-kira 3,000 unit dijual sejak 2015.

“Justeru ia sesuai sebagai destinasi eksport pertama bagi Perodua Axia STYLE baharu ini.

“Dilengkapkan dengan bumper yang tampil lebih lasak dengan elemen skid plate, cladding badan, moulding bumbung, spoiler belakang dan rim aloi lima-jejari 15-inci, Perodua Axia STYLE baharu mencerminkan gaya hidup aktif pemiliknya di samping mengekalkan semua kelebihan Axia seperti praktikaliti, kecekapan bahan api, ruang dalaman yang luas serta mudah dipandu,”jelasnya.

Sementara itu penjualan Perodua di Sri Lanka telah pun mencecah 16,000 unit sejak 1997.

Perodua mensasarkan eksport sebanyak 3,270 kenderaan untuk 2019 – peningkatan 50% daripada 2,184 unit tahun lepas.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply