Mahkamah Johor Bebaskan Pemandu Ragut Nyawa Lapan Remaja Basikal Lajak

Gambar hiasan

Mahkamah Majistret Johor Bahru telah membebaskan seorang pemandu wanita atas dakwaan memandu secara berbahaya selepas mengakibatkan lapan kematian remaja berbasikal, dua tahun lalu.

Menurut laporan Bernama, Majistret Siti Hajar Ali melepaskan Sam Ke Ting, 24 tahun, susulan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie.

Difahamkan, pihak mahkamah telah mengambil kira beberapa faktor sebelum membuat keputusan antaranya senario jalan berbukit dan gelap dan keadaan berbahaya tersebut disebabkan oleh kumpulan basikal lajak terbabit.

“Berdasarkan keterangan pasukan penyiasat, terdapat pokok besar di laluan berkenaan dan pencahayaan malap walaupun terdapat lampu di tembok pembahagi jalan.

“Aktiviti itu (basikal lajak) sudah umum diketahui di situ (lokasi kejadian), terdapat aduan mengenai perlumbaan basikal lajak di situ.

“Hanya mereka yang biasa melalui jalan tersebut akan menjangka terdapat kumpulan berbasikal lajak jadi tidak adil bagi pemandu yang jarang menggunakan jalan tersebut,” katanya menurut Bernama.

Sam telah didakwa menyebabkan kematian lapan remaja, Mohamad Azrie Danish Zulkefli, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, Fauzan Halmijan, Mohamad Azhar Amir, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, Muhammad Shahrul Nizam Marudin dan Haizad Kasrin pada 18 Februari 2017 pada jam 3.20 pagi.

Kesemua lapan remaja terbabit berusia di antara 13 hingga 16 tahun.

Sementara itu, mahkamah turut mengarahkan agar lesen memandu dan wang jaminan RM10,000 dikembalikan.

(SUMBER: Bernama)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply