Hafizh Syahrin Akhirnya Sahkan Slot Ke Moto2

Sumber: Red Bull KTM @ Twitter

Selepas berbulan menanti kepastian tentang masa depan Hafizh Syahrin di saingan MotoGP musim depan, pelumba itu akhirnya mengesahkan telah menandatangani pra-kontrak bersama pasukan baharu di Moto2.

Meskipun enggan mendedahkan nama pasukan tersebut namun timbul dakwaan bahawa dia akan ke Angel Nieto, mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jake Dixon yang telah pun berhijrah ke Petronas Sprinta.

Hafizh terpaksa melepaskan tempatnya di KTM Tech3 bagi musim 2020 tatkala pasukan satelit itu mengumumkan Brad Binder sebagai tonggak baharu musim depan.

Menurut Hafizh dia akan menandatangani kontrak penuh seawal hujung mingg ini di Buriram, Thailand.

“Saya akan ke Moto2 musim depan dan meskipun ini bukan cabaran baharu tetapi saya perlu membiasakan dengan enjin baharu,” jelas Syahrin.

Bagaimanapun, dengan pengalaman yang ada, Hafizh meletakkan sasaran untuk muncul kelompok lima terbaik di kelas kedua itu sebelum kembali merebut slot ke MotoGP.

“Saya akan cuba lakukan seperti (Tom) Luthi, saya mahu berada dalam kelompok lima terbaik. Saya berjaya menempatkan diri di antara 10 pelumba terbaik ketika dua tahun berada dalam saingan Moto2,” tambahnya.

Ketika ini, jentera Angel Nieto menggunakan chasis KTM bagaimanapun, musim depan, Hafizh mendedahkan mereka beralih sama ada ke Kalex atau Speed Up.

(SUMBER: Crash.net)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.