Jentera Honda Tidak Sebagus Diharapkan Di Bahagian Selekoh – Lorenzo

Selepas aksi di Mugello, Jorge Lorenzo telah terbang ke ibu pejabat Honda di Jepun bagi mencari jalan terbaik untuk mencapai keserasian dengan jentera RC213V.

Bagaimanapun, dia kemudiannya terlepas empat aksi perlumbaan susulan kemalangan di Assen.

Aksi terumbang-ambing bersama Honda musim ini mula menimbulkan desas-desus bahawa Lorenzo telah menghubungi Ducati dan Petronas Yamaha dalam percubaan untuk meninggalkan pasukannya.

Namun, segala khabar angin itu terkubur apabila dia membuat keputusan untuk menghormati kontrak dua tahun bersama Honda sekaligus akan kekal sehingga musim 2020.

Tatkala rakan sepasukan, Marc Marquez, menampilkan aksi mantap di setiap litar, Lorenzo gagal menamatkan saingan di kedudukan lebih baik daripada tempat ke-14 dalam tiga perlumbaan berturut-turut.

Meskipun terbukti Honda menghasilkan jentera lebih berkuasa musim ini menerusi dominasi Marquez, Lorenzo pula menyatakan bahawa penambahbaikan yang dilakukan terhadap bahagian enjin membuatkan jentera musim ini lebih teruk.

Bagaimanapun, dia mengharapkan Honda akan ‘memperbaiki’ aspek tersebut menjelang musim 2020.

“Saya sendiri telah bercakap dengan Pengarah Teknikal, Takeo Yokoyama dan amat jelas disebabkan mengejar kuasa yang lebih tinggi telah memberi kesan terhadap prestasi jentera ketika melalui selekoh.

“Tetapi Marc (Marquez) berjaya menggunakan kelebihan ini sehingga senario di selekoh tidak memberi kesan terhadap prestasinya.

“Ketika saya menguji jentera ini di Jerez, saya dapat mengesan sesuatu ketika melalui selekoh tetapi ketika itu sudah lambat untuk membuat perubahan drastik.

“Kita semua tahu Marc ada gaya tunggangan yang cukup agresif jadi prestasi jentera sedia ada ketika ini amat sesuai dengan gayanya,” jelas Lorenzo.

Aksi MotoGP akan kembali bersambung di GP Thailand, 6 Oktober ini.

(SUMBER: Motorsport.com)

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]