Dua Pelumba Muda Taruhan Idemitsu Boon Siew Honda Racing Di ARRC

Boon Siew Honda Sdn Bhd bersama-sama Idemitsu Lubricants Malaysia sekali lagi bersatu bagi projek melahirkan generasi ketiga pelumba motosikal negara dengan melancarkan pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing bagi kelas Asia Production 250cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Pasukan baharu ini akan membuat penampilan penuh bagi musim 2020 namun tatkala pusingan keenam kali ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Idemitsu Boon Siew Honda Racing telah membuat keputusan untuk menerjah pusingan kali ini bagi merasai saingan yang akan dihadapi mereka menuju musim depan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda menyifatkan langkah ini bertujuan untuk memberi cabaran kepada dominasi pelumba dari pasukan negara jiran.

“Kelas Asia Production 250cc telah diperkenalkan kepada ARRC pada 2015 dan ketika ini, kelas tersebut didominasi pelumba Thailand dan Indonesia.

“Bagaimanapun, kami sedar Malaysia mempunyai ramai pelumba berkaliber jadi mereka sewajarnya harus menghadirkan cabaran seperti yang dilakukan dalam kategori lain ARRC.

“Penubuhan pasukan baharu ini membuktikan kami dalam misi untuk mengembalikan keseimbangan dalam kategori popular ini,” katanya.

Idemitsu Boon Siew Honda Racing bakal mempertaruhkan Muhammad Syarifuddin Azman, 18 tahun, dan Muhammad Idlan Haqimi Raduan, 15 tahun, yang akan bersaing menggunakan jentera Honda CBR250RR.

“Saya teruja dengan penyertaan wildcard ini. Kelas AP250 bukanlah kelas yang mudah kerana terdapat ramai pelumba yang hebat dan agresif,” jelas Syarifuddin.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.