Shell Tekad Banteras Penjualan Produk Tiruan Dengan Bantuan KPDNHEP, Kastam

Shell telah pun bertapak di Malaysia selama 127 tahun namun kewujudan produk tiruan sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada kepercayaan orang ramai terhadap jenama itu.

Tahun lalu, Shell turut menjalankan pemeriksaan rawak terhadap produk Shell yang tulen dan ujian mendapati empat daripada 12 botol minyak dijual adalah produk tiruan.

Menyedari permasalahan ini, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd bertindak menjalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan bagi membanteras penjualan minyak enjin tiruan.

Seramai 100 pegawai penguatkuasa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNDHEP) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menghadiri bengkel latihan khas bagi mengenal pasti serta membezakan produk Shell tulen dengan produk tiruan.

Bengkel ini penting dalam mendidik pegawai ketika menjalankan serbuan terhadap premis yang menjual produk Shell tiruan.

Pengurus Besar Pemasaran Shell Lubricants, May Tan, mengucapkan terima kasih kepada agensi penguatkuasaan yang terlibat yang turut sama mahu membendung isu ini.

“Kami ingin menyampaikan pujian terhadap pihak berkuasa atas usaha mereka dalam memerangi kegiatan pengeluaran dan pengedaran pelincir tiruan yang menjejaskan jenama-jenama terkemuka termasuklah Shell. Sebagai pemilik jenama, kami benar-benar bimbang tentang jumlah pengguna yang telah terbeli pelincir tiruan melalui saluran yang tidak sah.

“Kerana itulah kami sentiasa menasihatkan para pengguna supaya membeli pelincir rasmi Shell yang tulen yang didatangkan dengan label ‘Untuk Pasaran Malaysia’ serta kod QR yang boleh disahkan ketulenannya melalui laman web SHARE, serta dari kedai-kedai yang berdaftar untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya kerosakan yang tidak boleh dipulihkan pada kenderaan mereka,”jelasnya.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply