Morbidelli Sertai Van Der Mark, Hafizh Syahrin Di Sepang 8 Hours

Sumber: franckymorbido @ Instagram

Pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli disahkan bakal membuat penampilan sulung di FIM Endurance World Championship (EWC) bersama SRT di Sepang 8 Hours.

Berlangsung pada 13-15 Disember ini, Morbidelli bakal digandingkan dengan juara Suzuka 8 Hour, Michael van der Mark dan Hafizh Syahrin bakal bersaing menggunakan jentera Yamaha YZF-R1.

Sepang 8 Hours bakal menyaksikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mempertaruhkan sistem lampu limpah baharu yang turut akan menyaksikan perlumbaan jentera empat roda – FIA World Touring Car Cup (WTCR).

Sepang 8 Hours dan WTCR akan berjalan di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Pengurus Petronas Yamaha SRT, Dato Razlan Razali teruja dengan perkembangan ini.

“Tiada cara yang lebih baik untuk memberikan sokongan terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 menerusi Sepang 8 Hours dan mempertaruhkan gandingan pelumba bertaraf dunia. Kami yakin Franco, Michael dan Hafizh mampu membawa pasukan menaiki podium,” jelasnya.

Sementara itu, Fanco Morbidelli turut tidak sabar untuk beraksi dalam perlumbaan yang dianggap masih asing bagi kariernya.

“Saya sangat berminat untuk mengetahui format perlumbaan jenis ‘endurance’ ini. Ia sesuatu yang berlainan dan ketika Razlan memaklumkan kepada saya mengenai perlumbaan ini, saya berkata ‘Apa salahnya mencuba?’,” katanya.

Pada masa sama, pelumba pasukan Petronas Yamaha SRT itu mengakui tidak sabar untuk beraksi menggunakan jentera ‘production’.

“Penting untuk mengekalkan momentum sebaik musim MotoGP berakhir jadi perlumbaan pada bulan Disember akan membantu dalam mengekalkan prestasi saya, saya pernah berlatih menggunakan jentera R1 sebelum ini,” tambahnya.

Sepang 8 Hours akan berlangsung dari 13 hingga 15 Disember ini.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]