Honda Monkey Dapat Sentuhan Teknologi Ohlins

Ohlins Asia telah menghasilkan penyerap hentakan khas untuk motosikal ‘funbike’ Honda Monkey 125, hari ini.

Meskipun Honda Monkey tidak mencapai populariti di Malaysia namun lain kisahnya di negara jiran, Thailand, dengan rata-rata menggunakan motosikal jenis ‘fun bike’ sebagai kaedah pengangkutan utama.

Menyedari perkara ini, Ohlins, selaku peneraju utama dalam teknologi penyerap hentakan telah menghasilkan produk khas bagi meningkatkan lagi keselesaan tunggangan Monkey dengan memperkenalkan kit redaman fork depan dan sistem penyerap hentakan belakang.

Pengurus Ohlins Asia, Alex D’Antoni mengakui berasa seronok sepanjang projek menghasilkan produk untuk Honda Monkey.

“Kami teruja sepanjang projek ini. Mengenakan penyerap hentakan berteknologi tinggi terhadap Honda Monkey ternyata meningkatkan lagi kemampuan serta keselesaan tunggangan. Dua faktor ini amat penting terutamanya dalam menempuh perjalanan harian di kawasan bandar yang sesak,” jelasnya.

Kit redaman depan Ohlins terbukti meningkatkan daya serap hentakan di samping mengoptimumkan kemampuan membrek.

Ohlins Asia telah mereka dua jenis penyerap hentakan belakang bagi Honda Monkey 125 iaitu penyerap hentakan berkembar STX 36 jenis emulsion – yang didatangkan dengan spring preload boleh laras – dan penyerap hentakan premium dengan gaya twin piggy back reservoir.

Kedua-dua produk ini mampu menahan berat penunggang lebih dari 80 kilogram.

Semua produk ini boleh didapati di setiap pengedar Ohlins di Asia.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.