GP Britain: Quartararo Salahkan Rins, Dovizioso Alami Hilang Ingatan

Sumber: MotoGP.com

Pelumba Petronas Yamaha, Fabio Quartararo mendakwa kemalangan yang menimpanya berlaku daripada kesilapan Alex Rins yanng memintasnya di selekoh pertama.

Quartararo mengalami insiden ‘highside’ lalu terbabas yang turut menyaksikan jenteranya dilanggar Andrea Dovizioso.

Dovizioso terpaksa dikejarkan ke hospital susulan mengalami hilang ingatan sementara apabila mengalami hentakan kuat susulan perlanggaran tersebut.

Quartararo kemudiannya menjelaskan bahawa kemalangan tersebut berlaku disebabkan Alex Rins yang hampir hilang kawalan.

Disebabkan mahu mengelak, pelumba Perancis itu telah melepaskan pendikit secara mengejut lalu mencetuskan kejadian ‘highside’. Quartararo menegaskan dia tidak akan terbabas jika Rins tidak melakukan kesilapan itu.

“Rins memintas saya di selekoh pertama tetapi dia mula hilang cengkaman di bahagian tayar belakang jadi saya telah melepaskan pendikit dengan agresif bagi mengelak daripada melanggarnya.

“Nasib saya tidak baik apabila senario itu mencetuskan ‘highside’, katanya menurut Motorsport.com

Sumber: MotoGP @ Twitter

Aksi di Silverstone menyaksikan Rins berjaya merekodkan kemenangan kedua musim ini selepas Austin apabila dia berjaya memintas pendahulu kejuaraan, Marc Marquez di selekoh terakhir.

Tempat ketiga jadi milik pelumba Yamaha, Maverick Vinales sementara rakan sepasukan, Valentino Rossi yang bermula di petak kedua, meraih tempat keempat.

Dalam perkembangan lain, pengurus pasukan Ducati, Davide Tardozzi, memaklumkan bahawa Dovizioso telah diterbangkan ke hospital di Coventry untuk menjalani pengimbasan.

“Dia hilang ingatan untuk tempoh 15 hingga 20 minit.

“Dovi turut mengalami kesakitan di pinggul kanan namun doktor mengesahkan tiada sebarang keretakan berlaku.

“Kita tunggu keputusan imbasan tersebut dan diharapkan dia bebas daripada sebarang masalah,” katanya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]