Tech3 Ikut Jejak KTM Tinggalkan Moto2, Tubuh Pasukan Baharu Di Moto3

Tech3 turut mengikut jejak KTM untuk meninggalkan saingan Moto2 sebaliknya sertai kelas Moto3 bagi musim 2020.

KTM mengumumkan keputusan untuk menarik diri daripada kelas Moto2, Ahad lalu selepas berakhirnya GP Austria.

Tech3 yang menjadi pasukan satelit KTM di MotoGP tahun ini selepas berpisah dengan Yamaha musim lalu telah pun beraksi di Moto2 pada 2010 menggunakan enjin Mistral 610.

Mereka akan meneruskan gandingan di Moto3 bersama KTM dan akan menawarkan dua slot pelumba.

Pengurus Tech3, Herve Poncharal turut menyuarakan sokongan terhadap KTM yang menarik diri daripada Moto2.

“Saya faham dan menyokong keputusan KTM untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap saingan MotoGP dan Moto3.

“Kami berasa bangga kerana dapat mengibar bendera Red Bull KTM dalam kelas Moto3, yang masih asing buat Tech3.

“Bersama KTM, kami berharap kerjasama ini akan terus berkembang di samping membantu bakat muda yang akan membentuk masa depan baharu di Moto3.

“Fokus kami kini adalah mencari pelumba yang bersesuaian dengan profil kami. Kami akan bersengkang mata beberapa hari ini,” jelasnya.

Keputusan ini sedikit sebanyak memberi bayangan bahawa pelumba negara, Hafizh Syahrin, tidak akan beraksi di Moto2 bersama Tech3 dan akan sertai pasukan baharu setelah tempatnya digantikan Brad Binder bagi musim 2020 di MotoGP.

Terdahulu, rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco turut membuat keputusan meninggalkan pasukan itu hujung musim ini.

(SUMBER: motorsport.com)

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]