Alex Marquez Sah Kekal Bersama Marc VDS Semusim Lagi

Sumber: Alex Marquez @ Twitter

Pendahulu kejuaraan Moto2, Alex Marquez tidak akan ke MotoGP musim depan apabila bersetuju untuk kekal bersama Marc VDS di Moto2.

Difahamkan, Petronas SRT Moto2 telah pun membentangkan tawaran bagi pelumba berusia 23 tahun itu tetapi urusan tersebut tidak menjadi ekoran Yamaha keberatan untuk menyerahkan slot dalam pasukan satelit musim berikutnya.

“Saya gembira untuk mengumumkan bahawa saya akan kekal bersama Marc VDS dalam kategori Moto2 musim depan.

“Dengan struktur teknikal baharu, saya akan menggunakan tempoh setahun itu untuk memperbaiki skil saya sekaligus menyiapkan diri untuk beraksi di MotoGP,” jelas Marquez.

Meskipun pengurus Marquez, Emilio Alzamora turut mengadakan perbincangan dengan Pramac Ducati, Marquez menegaskan dia masih mahu keka di Moto2 semusim lagi.

Kontrak baharu ini menyaksikan Marquez akan beraksi dengan Marc VDS untuk musim keenam berturut-turut.

(SUMBER: Autosport)