Khabar Angin Lorenzo Kembali Ke Ducati Berasas – Jack Miller

Jack Miller menyifatkan ada kebenaran disebalik khabar angin yang mengaitkan pelumba Repsol Honda, Jorgen Lorenzo dengan Ducati.

Lorenzo sertai Ducati pada 2017 selepas berjaya memenangi tiga kejuaraan dengan Yamaha musim sebelumnya.

Dia kemudiannya beralih ke Honda bagi 2019 bagi membentuk ‘dream team’ bersama pertahan juara, Marc Marquez.

Keputusan itu tidak membuahkan hasil positif apabila Lorenzo masih belum dapat mencapai keserasian dengan jentera RCV di samping pelbagai masalah kecederaan membantutkan usahanya untuk kembali bersaing sebagai pelumba tiga terbaik musim ini.

Setakat ini, Lorenzo masih gagal menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik sekaligus mencetuskan khabar angin bahawa dia mahu menamatkan kontrak dua tahun bersama Honda dan kembali ke Ducati.

Beberapa minggu lalu, senario sempurna buat Lorenzo adalah kembali disatukan dengan Andrea Dovizioso namun realiti itu telah pun terkubur tatkala Ducati telah kembali menandatangani Danilo Petrucci.

Bagaimanapun, peluang untuk Lorenzo sertai Ducati masih terbuka tatkala masa depan Jack Miller bersama pasukan satelit Ducati, Pramac masih kabur.

Sumber: Pramac Racing MotoGP @ Twitter

“Ada kebenaran disebalik khabar angin mengaitkan Lorenzo.

“Pastinya dia sedang memikirkan masa depannya kerana ketika ini dia tidak dapat mencapai apa-apa. Dia tidak serasi dengan jentera Honda.

“Saya rasa Pramac masih memerlukan saya, kebanyakan individu di Ducati mahu saya kekal tetapi selepas memasuki separuh kedua musim dan dengan dua podium, saya masih belum menandatangani sebarang kontrak.

“Ketika ini tiada sebarang tawaran dihulurkan Pramac kepada saya tetapi saya akan terus berikan yang terbaik,” jelasnya.

Ketika Lorenzo sertai Ducati dua tahun lalu, pengurus besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna merupakan pendorong utama dalam membawa pelumba kelahiran Palma, Sepanyol itu.

Sumber: Andrea Dovizioso @ Twitter

Berdasarkan keputusan semasa saingan MotoGP, Andrea Dovizioso sebagai tunjang utama Ducati ketinggalan 63 mata dibelakang pendahulu, Marc Marquez.

Senario tersebut berkemungkinan mampu membuatkan Dall’Igna untuk membawa Lorenzo ke Ducati.

Seandainya itu berlaku, buat julung kalinya Lorenzo akan menjadi pelumba satelit dalam kariernya namun, segalanya bergantung sama ada dia dilepaskan daripada HRC atau Ducati sanggup menebus baki kontraknya.

Sekiranya Lorenzo berpindah, bermakna ada kerusi kosong disebelah Marquez di HRC dan Miller merupakan antara pelumba yang paling layak diantara penunggang lain yang masih ketiadaan pasukan bagi musim 2020.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.