BMW R1250 GS: Berat 250KG Tapi Seimbang Bagaikan Atlet Gimnastik

Teringat lagi saat BMW Motorrad Malaysia melancarkan BMW R1250 GS dan R1250 GS Adventure ketika BMW Night Fuel yang berlangsung di Bandar Malaysia, Julai lalu. Saat kemunculan kedua-dua model tersebut di atas pentas membuatkan bulu roma meremang tanpa kawalan.

Ketika itu, sesi monolog bermula,”Alangkah seronoknya kalau dapat menunggang dua kuda liar ini”. Lebih sebulan kemudian, dialog dalam hati itu seakan mendapat panggilan apabila BMW Group Malaysia menghubungi MotoMalaya – menerusi Wahid Ooi dari BikesRepublic – dan memaklumkan bahawa mereka ada dua jentera yang ingin kami uji.

 

Tidak lain dan tidak bukan, dua kuda liar yang asalnya sekadar angan-angan Mat Jenin kini menjadi realiti. Jentera ‘Adventure’ (ADV) ikonik BMW kini bakal menjadi ‘milik’ MotoMalaya untuk tempoh 168 jam.

Mata kedua-dua BMW R1250 GS dan R1250 GS Adventure yang disinari Daytime Running Light (DRL) menyapa penglihatan lalu menusuk ke jiwa. Sesi kedua monolog bermula,”Tak sabar aku nak jinakkan kuda liar ini di atas permukaan bertar dari Cyberjaya ke Kuala Lumpur. Tetapi mampukah aku?”

Hati mula gundah-gulana kerana ini adalah perjalanan sulung MotoMalaya dengan BMW R1250 GS atau GS secara amnya.

Demi memahami intipati dan jiwa jentera ikonik BMW ini, BMW R1250 GS jadi pasangan pertama dan ketepikan R1250 GS Adventure buat sementara waktu.

Perasaan pertama, kuda liar ini didatangkan dengan tangki 20 liter dan berat 250 kilogram dan angka itu mungkin mengejutkan tetapi bukan bagi mereka yang telah mentelaah salasilah GS sebelum ini.

Hakikatnya, GS dan muatan berat berpisah tiada tetapi berat itu menjadi ghaib saat nadi bersesaran 1,254 cc dihidupkan dan roda bersaiz 19 inci depan dan 17 inci belakang mula mengorak langkah.

Jentera bernilai RM116,500 – setanding dengan harga seekor kuda sebenar – bukan sahaja tampil lebih jinak malah mendatangkan aura seakan bersedia untuk beraksi dalam sukan ekuestrian.

Perkataan STABIL melompat keluar dari celah-celah membran otak lalu disampaikan ke lidah  bagi mencetuskan sesi monolog ketiga,”Mana pergi berat tadi? Macam mana boleh jadi seimbang sangat?”

Sepanjang sesi tunggangan, BMW R1250 GS meperlihatkan keseimbangan yang mengagumkan umpama atlet gimnastik yang ‘menari’di atas apparatus batang titian.

Selain daripada peranan kedudukan enjin boxer, magis sebenar BMW R1250 GS berlaku dengan bantuan sistem baharu yang diberi nama teknologi ShiftCam.

Jika ahli silap mata lebih gemar berahsia daripada berkongsi magis mereka, BMW mengambil langkah lebih berani apabila meluahkan segala rahsia mengenai teknologi baharu ini.

Teknologi ShiftCam membuatkan peralihan daripada prestasi enjin yang rendah ke tinggi (partial load ke full load) tanpa sebarang perasaan tersengguk sekaligus mencernakan pergerakkan yang efisien dan lancar. Sifat yang jarang sekali ditonjolkan jentera ADV kini berada di dalam GS.

 

Entah bagaimana ahli sihir (jurutera) di kilang BMW melakukannya tetapi apa yang pasti teknologi ShiftCam memastikan piawaian Euro 5 berjaya dicapai tanpa perlu mengorbankan kuasa dan imej GS.

Saksikan video dibawah bagaimana magis ShiftCam berlaku:

Keterujaan itu kemudiannya disalurkan menerusi pulasan pendikit dan saat itu bukan satu, bukan dua tetapi 136 kuasa kuda dapat dirasai serta-merta yang disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan.

Ketika ini, sesi meremang bulu roma buat kali kedua berlaku dan ketika sedang lemas dalam keterujaan, pandangan di hujung mata menangkap paparan TFT berukuran 6.6 inci yang dengan jelas menunjukkan kelajuan ketika itu telah mengjangkau angka haram di sisi Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan polis.

Selain daripada memaparkan maklumat penting seperti speedometer, odometer dan gear indiciator, paparan TFT – yang didatangkan secara standard bagi GS dan GSA – turut bertindak sebagai pusat hiburan mini. Sesuatu yang tidak akan dijumpai pada seekor kuda liar sebenar.

Paparan baharu ini membenarkan sambungan kepada telefon pintar yang boleh digunakan bagi memilih muzik, mengawal navigasi dan membuat serta menjawab panggilan telefon.

Meskipun 136 ekor kuda yang disumbat dalam enjin boxer kali ini tidak lagi digandingkan dengan brek Brembo namun penggunaan brek Hayes empat pot di bahagian depan – dijenamakan semula sebagai BMW – memberikan jaminan yang sama.

Hanya persoalan mengenai pertukaran daripada Brembo ke Hayes kekal menjadi teka-teki yang tidak dapat kami rungkaikan.

Tidak cukup R1250 GS dijinakkan dengan teknologi ShiftCam, BMW turut menyuntik Dynamic Braking Control (DBC) bagi menjaminkan keselamatan yang lebih jitu.

“Percayalah..” kata Siti Nurhaliza, sistem DBC amat diperlukan bagi mengendalikan jentera berat. Ciri keselamatan ini memastikan pendikit dilepaskan secara automatik dalam keadaan ‘panic-stop’.

BMW dakwa komputer mampu mengesan jika penunggang memegang pendikit dengan erat ketika sedang membrek dengan kuat. Tetapi kami pula dakwa ada ‘jin’ yang melakukan tugas tersebut kerana bunyinya agak sofistikated dan terlalu canggih!

Sementara itu, keselesaan tunggangan turut dirungkai menerusi penggunaan Dyamic ESA yang turut terdapat pada model sebelumnya – R1200 GS dan GSA.

Jika pemandu kereta manual risau gelongsor ke belakang ketika di bukit, apatah lagi bagi sebuah bas mini beroda dua dari Jerman ini dan kerana itulah BMW R1250 GS dan GSA didatangkan dengan Hill Start Control yang boleh diaktifkan dengan menekan brek depan dua kali.

Kesemua faktor ini membuatkan BMW R1250 GS layak digunakan sebagai kuda harian apatah lagi penunggang boleh memilih di antara empat mod – Rain, Road, Dynamic dan Enduro – bagi menyesuaikan jentera dengan cara tunggangan masing-masing.

Secara peribadi, kami jatuh cinta dengan mod Dynamic kerana berbanding Rain dan Road, mod ini menyerlahkan lagi kuasa sebenar GS.

Jika ada yang memiliki sifat ingin tahu dan bertanyakan ‘Kenapa tidak menggunakan mod Enduro?’

Jawapan kami, tiada kelapangan untuk membawa kuda liar ini ke permukaan ‘off-road’ tetapi selepas menyaksikan sendiri keupayaan model sebelum ini R1200 GS di GIVI Rimba Raid beberapa minggu lalu kami berpuas hati untuk hanya menjalankan sesi ujian di atas permukaan bertar.

Tidak dapat dinafikan BMW GS merupakan jentera yang mampu merungkai makna motosikal ADV. Meskipun didatangkan dengan harga yang tinggi tetapi kami jangka senario itu langsung tidak akan memberi kesan terhadap pemilik lama dan baharu untuk memastikan model ikonik ini akan terus memalingkan kepala setiap pengguna jalan raya.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply