4 Sebab FXDR 114 Mampu Kembalikan Populariti Harley Davidson

Baru-baru ini, Harley-Davidson telah melancarkan model FXDR 114 buat julung kalinya ketika di Art Of Speed 2019 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

Menurut pengeluar motosikal Amerika Syarikat itu, FXDR 114 membawakan makna kuasa dan prestasi tinggi baharu dalam keluarga Harley-Davidson.

FXDR 114 merupakan ahli ke-10 dalam platform Softail dan di antara 100 jentera berprestasi tinggi yang diperkenalkan menjelang 2027.

Baru-baru ini, Harley-Davidson mengakui berdepan penurunan penjualan terutamanya di Amerika Syarikat susulan beberapa faktor dengan keseluruhan penjualan turun 6 peratus berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun, pengenalan model FXDR 114 ini dijangka mampu kembali memperkukuhkan jenama itu.

Berikut empat sebab kenapa Harley-Davidson FXDR 114 mampu menaikkan kembali minat orang ramai terhadap jentera berpangkalan di Milwaukee itu.

1. Lebih Ringan

Penggunaan ‘swingarm’ aluminium telah berjaya mengurangkan berat sehingga 4.62 kilogram atau 43 peratus lebih ringan berbanding model Softail lain yang menggunakan ‘swingarm’ keluli.

Rim 19 inci dengan ‘forged’ aluminium di bahagian depan turut memastikan keseluruhan jentera kekal ringan. Malah, bahagian tempat duduk juga disokong oleh rangka aluminium. Bahagian ‘fender’ depan dan belakang turut mengguna pakai bahan ringan.

2. Rekaan Bercirikan Motosikal Drag

Segala reka bentuk Harley-Davidson FXDR 114 diinspirasikan daripada perlumbaan drag.

Timbalan Presiden, Penggayaan dan Rekaan Harley-Davidson, Brad Richards sendiri mengakui rekaan FXDR 114 memfokuskan terhadap menonjolkan kekuatan yang ada pada model tersebut.

“Rupa keseluruhan FXDR 114 menampakkan prestasi jentera tersebut termasuk beberapa ciri teknikal sekaligus menjadikan model ini lain daripada barisan Softail lain.

“Pengaruh motosikal drag tampak jelas dengan ‘raked and inverted front end’, ekzos besar, perbezaan ketara di antara dua tayar dan bahagian ekor. Tetapi pada masa sama kami memastikan elemen teknikal lain – ‘swingarm’aluminium, paparan digital, penyerap hentakan boleh laras – diketengahkan juga.

Bahagian tangki – dengan kapasiti 16.7 liter – yang direka khas bagi FXDR 114 turut menyerlahkan lagi rupa jentera tersebut.

3. Chasis Dinamik

Harley-Davidson memastikan chasisi Softail yang diguna pakai adalah kuat namun masih menyumbang kepada tunggangan yang lincah terutamanya ketika melalui jalan yang berselekoh.

Penggunaan ‘monoshock’ di bahagian belakang dengan ‘single coil-over shock’ dan teknologi bebas piston turut meningkatkan respon jentera ketika menunggang.

Penunggang kini boleh melaras pre-load di bahagian ‘monoshock’ bagi menyesuaikan keadaan motor dengan berat semasa. Harley-Davidson FXDR 114 turut dilengkapkan dengan fork terbalik 43mm bagi memperbaiki respon ketika membelok.

Kesemua ini membuatkan FXDR 114 mampu mencapai sudut ‘lean’ yang lebih rendah berbanding model Softail lain – 32.6 darjah di sebelah kiri dan 32.8 darjah di sebelah kanan.

Bukan itu sahaja, FXDR 114 turut didatangkan dengan sistem Anti-lock Braking System (ABS) secara standard. Penggunaan tayar Michelin Scorcher 11 di bahagian depan dan belakang turut meningkatkan kemampuan membrek.

4. Enjin Milwaukee-Eight Muscle

Harley-Davidson FXDR 114 telah dilengkapi dengan enjin paling berkuasa yang datang dengan chasis Softail.

Milwaukee-Eight 114 V-Twin telah ditala untuk menghasilkan 158 Nm tork pada 3,500rpm! Reka bentuk ‘air intake’ yang menghadap ke depan telah diinspirasikan daripada jentera drag Screamin Eagle/Vance & Hines.

Penggunaan ekzos 2 kepada 1 serba baharu juga telah dilaras agar menghasilkan bunyi yang cukup kuat.

FXDR 114 hadir dalam enam pilihan warna:

  • Vivid Black
  • Black Denim
  • Industrial Gray Denim
  • Wicked Red Denim
  • Bonneville Satl Denim
  • Rawhide Denim

Siapa yang sebelum ini berpendapat Harley-Davidson tidak lagi relevan untuk bersaing dengan jenama lain, pengenalan model FXDR 114 mampu membuktikan sebaliknya!

 

Harley-Davidson FXDR 114 ditawarkan pada harga bermula dari RM122,500.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.