Porsche 911 Generasi Ke-8 Dilancarkan – Harga Dari RM1.1j!

Litar Antarabangsa Sepang menjadi saksi kepada majlis pelancaran Porsche 911 generasi kelapan oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP),  hari ini.

Meskipun dilahirkan dengan DNA litar lumba namun 911 serba baharu ini turut menawarkan pemanduan selesa di kawasan bandar hasil kombinasi ciri teknikal yang telah ditambahbaik,  rekaan moden dan sistem bantuan pemanduan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif SDAP,  Christopher Hunter,  menyifatkan 911 ini mencerminkan gabungan masa lalu dan masa hadapan.

“911 kekal sebagai model kereta sport ikonik dan sentiasa mengagumkan orang ramai sejak diperkenalkan lebih 50 tahun dahulu.  Disebabkan kesetiaan terhadap model ini di Malaysia, tidak hairanlah Malaysia muncul pasaran terbaik 911 bagi tahun 2018 di rantau Asia Pasifik.

“Bagi menghargai sokongan terhadap 911, tahun 2018 turut menyaksikan latihan Piala 911 GT3  di Pusat Pengalaman Porsche Sepang berlangsung buat julung kalinya di Asia Tenggara,” jelasnya.

Model baharu ini turut dikemaskini dengan mod Wet bagi memastikan kelancaran pemanduan menghadapi cuaca tidak menentu di Malaysia.

Lebih berkuasa

Generasi baharu ini didatangkan dengan enjin enam silinder ‘boxer’ lebih berkuasa yang mampu menghasilkan 450HP pada 6,500rpm – 30HP lebih tinggi berbanding model sebelum ini – bagi model S yang disalurkan menerusi transmisi dual-klac lapan kelajuan.

Model 4S/S mampu mencapai 0-100km/j dibawah 3.7 saat!  Porsche 911 Carrera S dan 4S mampu mencapai kelajuan maksima 308km/j dan 306km/j.

Rekaan luaran mendapat suntikan generasi pertama

Porsche menyuntik nostalgia generasi pertama 911 namun segalanya masih kelihatan serba baharu.  Bahagian depan kini 45mm lebih lebar dengan bonet depan yang telah dianjakan.  Lampu depan LED dengan empat poin ‘Daytime Running Light’ (DRL) baharu turut menonjolkan lagi rupa keseluruhan model ini.

Bahagian dalam kini lebih menonjol

Porsche sekali lagi menggabungkan elemen nostalgia dan baharu dengan garisan yang lebih jelas yang terdapat pada empat generasi awal 911.

Bahagian tempat duduk pemandu diserlahkan dengan paparan sesentuh 10.9 inci  yang boleh diakses dengan mudah oleh pemandu.

Sistem bantuan pemanduan meningkatkan keselamatan

Porsche Wet Mode berfungsi untuk mengesan air di atas permukaan jalan – dengan bantuan sensor ultrasonik – sekaligus akan mengubah tetapan kenderaan bagi memastikan keselamatan pemanduan. Menariknya,  ciri ini didatangkan secara standard bagi semua varian 911.

Lebih menarik, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem Night Vision yang didatangkan secara ‘optional’.

Senarai harga:

Porsche 911 Carrera S – RM1,150,000

Porsche 911 Carrera 4S – RM1,220,000

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.